ALOR SETAR - Mengimbas kembali kenangan pada pilihan raya ke-12 lalu yang menyaksikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang mandat untuk menerajui Kedah memberikan nostalgia pahit bagi Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Tajudin Abdullah.
Namun pahit yang perlu ditelan itu telah mengajar UMNO dan BN Kedah untuk bermuhasabah menginsafi takdir Allah SWT, dan tetap terus berazam memberikan khidmat yang lebih berkesan kepada rakyat di negeri ini walaupun bertindak sebagai pembangkang.
Tajudin berkata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri selepas kekalahan tersebut telah memikirkan formula terbaik untuk BN lebih dekat dengan rakyat dan menyatukan semula parti yang kucar-kacir, seterusnya mencatur strategi menawan kembali Kedah dari Pakatan Rakyat.
"Ya, saya menangis ketika itu. Bukan kerana kalah. Alhamdulillah, rakyat ketika itu masih memilih saya dan saya menang di Dun Belantik. Namun kekalahan BN di negeri Kedah membuat saya menangis. Terlintas di fikiran, bagaimana saya mahu bantu rakyat sebagai pembangkang?
"Namun mujurlah kita ada Kerajaan Pusat ketika itu. Pada Kerajaan Pusatlah tempat kami mengadu dan memohon pertolongan untuk membantu rakyat. Contohnya ketika banjir besar melanda Kedah, Kerajaan Pusatlah yang hulurkan bantuan untuk rakyat Kedah di sini.
"Datuk Seri Ahmad Bashahlah pemimpin yang bertanggungjawab menyatukan semula UMNO di negeri ini. Ketika itulah konsep muafakat bermula. Jadi jiwa muafakat ini tercetus lepas 2008. Beliaulah 'Bapa Muafakat' di negeri ini," katanya memula bicara ketika ditemubual secara eksklusif oleh Kedahnews.com, baru-baru ini.
Tajudin yang merupakan Ahli Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri itu berkata, selama lima tahun UMNO negeri Kedah 'derita' sebagai pembangkang, namun segala kepayahan itu diharungi bersama dan rakyat di Parlimen atau Dun di negeri ini tetap terbela.
Jelas beliau, Ahmad Bashah dalam serba kekurangan telah menyusun semula jentera UMNO dan mengatur gerakan-gerakan politik melalui empat peringkat sayap parti, selain memberi perhatian kepada parti-parti komponen untuk memperteguh BN di seluruh negeri Kedah.
"Sebagai contoh, dari sudut daftar pemilih ketika itu, kita berjaya memastikan BN memiliki hampir 100 'confident vote'. Maksudnya, jentera kita memang buat kerja sepanjang lima tahun itu. Itu pencapaian yang membanggakan hasil muafakat kami semua.
"Bila tiba pilihan raya ke-13, seluruh jentera UMNO dan BN giat bergerak tiga kali ganda. Sepanjang lima tahun kami buktikan mampu beri khidmat terbaik untuk rakyat Kedah walaupun sebagai pembangkang, dan Alhamdulillah, rakyat kembali yakin dengan kemampuan kami.
"Ya, kami menang pada PRU ke-13. Saya menangis sekali lagi. Kali ini menangis kerana gembira. Terharu dengan keyakinan rakyat dan kami semua menanam tekad untuk memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat di negeri Kedah," katanya.
Menghormati autoriti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang melantik Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah sejurus selepas mengambil alih Kedah ketika itu diterima baik oleh semua pihak dengan jiwa besar.
Biarpun Mukhriz hanya pulang membantu menawan Kedah kira-kira 4 bulan sebelum PRU ke-13 berlangsung, atas dasar muafakat Ahmad Bashah dan semua kepimpinan UMNO Bahagian, Mukhriz disokong penuh tanpa berbelah bagi.
"Kami semua akur dengan pilihan Perdana Menteri. Itu hak beliau. Sebagaimana Tun M dulu mahu Tan Sri Sanusi Junid dan jatuhkan Tan Sri Osman Aroff, kami terima Mukhriz dan menghormati kedudukan beliau sebagai ketua kami yang baru," ujar beliau.
Namun di sepanjang hampir 3 tahun Mukhriz mengetuai UMNO negeri telah menyaksikan parti tunjang BN itu bagaikan "lena diulit mimpi indah, bersemayam di atas tilam yang empuk".
Jelas Tajudin, mungkin atas faktor tiada pengalaman, tidak memahami budaya politik, merasakan diri lebih pandai dan kurang bijak dalam usaha menjalin hubungan rapat dengan majoriti pemimpin UMNO Bahagian serta komponen BN, pendekatan Mukhriz itu tanpa disedari telah menyebabkan UMNO Kedah kembali "gerhana".
"Sebagai contoh dalam hal daftar pemilih, sepanjang memimpin UMO selama 3 tahun itu Mukhriz hanya mampu dapatkan 13,000 pengundi sahaja. Jauh sangat bezanya dengan pencapaian Ahmad Bashah sebelum ini.
"Dalam mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri, bukan sekali saja, bahkan berkali-kali kami Ketua Bahagian menegur Mukhriz. Bukan marah atau tengking pun. Tegur baik-baik, maklumlah diakan anak Tun M.
"Namun itulah dia Mukhriz. Tegur bagaimanapun, tiada sebarang perubahan berlaku. Tahun pertama, tahun kedua dan tahun ketiga pun Mukhriz tidak berubah. Kita cadangkan supaya ambil kembali jentera parti yang berpengalaman dulu pun, tiada perubahan.
"Mungkin setahun dua kami semua boleh sabar. Namun selepas 3 tahun, mengenangkan pilihan raya, memikirkan kedudukan Mukhriz yang semakin hari semakin hilang kepercayaan dari orang UMNO sendiri membuatkan kami resah.
"Saya akui dia popular. Tapi berapa ramai yang dia tarik sertai UMNO? Populariti tidak menjamin masa depan parti. Populariti juga tidak menjamin kebajikan dan nasib rakyat terbela. Bila Mukhriz goyah dan hilang pengaruh dalam parti, bagaimana beliau hendak memimpin?
"Mungkin kerana kegagalan politik Mukhriz itu meskipun telah diberi kesempatan dan peluang yang terbuka luas, dia terpaksa ditukar dengan pemimpin yang lebih baik dan memahami keperluan tugas berat sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri," jelasnya berhubung perkembangan politik Mukhriz ketika itu.
Dari sudut pentadbiran Kerajaan Negeri pula, meskipun Mukhriz diberi mandat dan kepercayaan oleh Perdana Menteri serta penerimaan baik dari semua pihak pada awalnya, namun ia bertukar arah selepas kegagalan politik bekas Menteri Besar itu.
Kata Exco Kerajaan Negeri itu, selepas mengambil alih Kedah, tidak dinafikan Kerajaan BN Negeri memerlukan dana yang besar untuk membangunkan negeri dan menjamin kebajikan rakyat di negeri ini terus terbela.
"Awal dahulu semuanya okey. Perdana Menteri beri mandat dan kepercayaan pada Mukhriz, begitu juga kami semua di sini.
"Tapi selepas setahun dua, mulalah hubungan baik itu jadi keruh. Melalui projek mega, dana yang diperlukan terlalu tinggi. Misalnya litar lumba, khabarnya beliau minta lebih dari RM70 juta. Padahal yang mahu dibina hanyalah litar lumba rakyat, bukan litar F1 seperti di Sepang.
"Bila Kerajaan Pusat hanya mahu berikan RM30 juta dan bakinya perlu dicari sendiri, maka projek itu tertangguhlah. Begitu juga dengan projek-projek besar lain yang hingga kini masih dalam perancangan.
"Kemudian, masuk pula bab politik dan beliau lantang mengkritik Perdana Menteri secara terbuka, maka makin susahlah untuk Kerajaan Negeri dapat bantuan dari Kerajaan Pusat. Hubungan makin keruh dan keruh.
"Bila hubungan bapa dan anak keruh, maka sudah tentulah jadi begitu. Tun M juga begitu dulu. Jadi, kita rakyat Kedah yang rugi. Pembangunan terbantut, perancangan tertangguh, kebajikan pun tak dapat dilaksana dengan menyeluruh," ujar Tajudin menjelaskan keadaan sebenar.
Katanya, faktor-faktor berkenaan telah menyebabkan majoriti Adun Kedah hilang kepercayaan kepada Mukhriz dan siasatan Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah mendapati beliau terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar secara adil.
Jelas Tajudin, perkara-perkara mengenai Mukhriz itu tidak diketahui rakyat sebelum ini dan mereka yang melihat bekas Menteri Besar itu secara imej luaran sahaja sedangkan dalamannya tersembunyi kisah sebenar yang menyulitkan segala.
BN Kedah buat pertama kali gagal mempertahankan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah apabila tewas kepada Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan tanpa PAS) pada PRU ke-12 yang lalu, ekoran "tsunami" politik yang melanda politik BN di seluruh negara.
Bangkit dari kejutan tersebut, BN Kedah yang diterajui Ahmad Bashah mengambil alih semula tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri apabila menang dengan majoriti mudah pada PRU ke-13 yang lalu.
Krisis dalaman berlaku kira-kira 3 tahun Mukhriz menjadi Menteri Besar menyaksikan peralihan kuasa berlaku dengan diadili oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas undian dijalankan oleh 36 Adun Kedah.
Ahmad Bashah yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri KPDNKK diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri sebagai Menteri Besar Kedah pada 4 Februari 2016 lalu. - Kedahnews.com