EKSKLUSIF: UMNO Sik Tidak Pandang Remeh Ancaman Pembangkang Di Kedah


SIK - Ancaman dari parti-parti pembangkang di negeri ini tidak pernah dipandang remeh, namun UMNO Bahagian Sik yakin bahawa keikhlasan Barisan Nasional (BN) dalam memberikan khidmat terbaik akan memberikan keyakinan rakyat untuk terus memberi mandat menerajui negara dan negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Tajudin Abdullah berkata, sejak dari zaman merdeka lagi rakyat di negara ini yakin dengan kemampuan UMNO dalam membela nasib mereka meskipun partu tunjang BN itu sering diserang dengan pelbagai dakyah dan tohmahan pembangkang.

"Kita tidak pernah pandang remeh pada parti pembangkang. Sama ada PPBM atau parti pembangkang mana pun sekali, kita tidak pernah padang rendah pada mereka terutama dari sudut mencetus tohmahan pada kita.

"Dari dulu lagi kita sudah lali dengan permainan politik mereka. Mereka hanya mahukan kuasa politik, bukan untuk bantu rakyat atau majukan negara pun. Jika mahu bantu dan majukan rakyat, mereka takkan tohmah kerajaan dan jejaskan imej negara dengan berpolitik 24 jam setiap hari.

"Saya sudah lama dalam politik. Saya pernah jadi Adun pembangkang. Sama ada jadi pembangkang atau kerajaan, kita pemimpin UMNOlah yang rakyat cari bila hadapi masalah. Mereka tidak pula cari pemimpin pembangkang.

"Kenapa mereka cari pemimpin UMNO dan BN? Kerana sejak merdeka lagi tradisinya begitu. UMNO dan BN diyakini membantu rakyat. Jadi bila kita jadi pembangkang pun, kita jugalah yang rakyat cari dan minta pertolongan," kata beliau ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Tajudin berkata, tradisi itu juga dapat ditunaikan dengan baik oleh setiap pemimpin UMNO di pelbagai peringkat di mana mereka akan tetap cuba sedaya upaya membantu rakyat yang memohon pertolongan walaupun mereka sendiri sebenarnya tidak mampu menyelesaikan semua masalah yang dikemukakan.

"Kita akan usaha juga bagaimana susah pun sekali. Kalau tak mampu bantu pun, kita akan cuba juga. Ada yang sampai pernah bergolok bergadai, sanggup berhutang untuk bantu rakyat. Tapi takkanlah nak beritahu rakyat pula, kan?," ujar beliau.

Mengulas mengenai perkembangan terkini tentang parti pembangkang, beliau tidak dapat menafikan tentang penguasaan DAP di dalam Pakatan Harapan meskipun cuba dinafikan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain, termasuk PPBM.

"Jika saya bukan orang UMNO pun saya dapat lihat bagaimana DAP menguasai Pakatan Harapan. Dulu mereka kuasai Pakatan Rakyat. Sekarang mereka kuasai Pakatan Harapan. Parti Tun M masuk pun, DAP tetap lebih dominan.

"Sebelum ini, PAS sudah kena. Kita sudah beritahu PAS dulu, tapi selepas terhantuk barulah PAS tengadah. Hampir hancur PAS dikerjakan DAP. PAS diserang dari dalam dan luar. Dalam senyum DAP, mereka hantar 'virus' dalam PAS.

"Jika sebuah parti yang kuat macam PAS pun boleh berpecah-belah gara-gara DAP, inikan pula PPBM. Bila-bila masa saja boleh dibaham DAP. PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) memang kita tahu jadi 'pak turut' DAP saja, mereka tak boleh hidup tanpa DAP," katanya.

Selain itu, Tajudin turut meluahkan rasa kecewa apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup bersekongkol dengan DAP.

Lebih dikesali beliau, Mahathir dilihat lebih akrab dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam usaha menjatuhkan BN yang memberi peluang padanya untuk menjadi Perdana Menteri paling lama berkuasa di negara ini.

"Saya sedih bila Tun M, Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin sanggup bersekongkol dengan DAP.

"Tun M sendiri berpuluh tahun menentang DAP. Beliau sendiri tegaskan DAP itu parti rasis dan perosak negara sebelum ini. Macam-macam tindakan dan kutukan beliau pernah hamburkan pada DAP. Kita semua tahu dan setuju DAP itu musuh yang nyata.

"Tapi hari ini beliau memilih bersekongkol dengan DAP? Sedangkan, jika benar mahu berpolitik demi rakyat, beliau tidak perlu pun bersama DAP dan jejaskan reputasi sendiri. Beliau heret pula Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz, punah masa depan politik mereka," katanya penuh kesal.

Namun begitu katanya, mungkin sememangnya sikap Mahathir yang merasakan dirinya semuanya betul dan mahu terus mengawal sebagai hal ehwal politik di negara ini, khususnya dalam menyediakan laluan mudah untuk anaknya menjadi Perdana Menteri.

"Datuk Seri Mukhriz senang saja dapat laluan jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar Kedah. Tidak perlu kerja keras macam Datuk Seri Ahmad Bashah dan pemimpin UMNO lain pun, bukan?

"Jadi, tidak mustahil setelah gagal dari dalam UMNO, beliau ikut jalan luar dan bersekongkol dengan musuh yang beliau serang siang malam dulu untuk kepentingan kuasa dan politik. Dalam politik, segalanya mungkin," katanya memberi pandangan.

Dalam pada itu, Tajudin turut meluahkan rasa kagumnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang tetap konsisten menjaga kemakmuran negara dan kebajikan rakyat meskipun dihujani dengan pelbagai tohmahan serta fitnah liar.

Contoh terbaik katanya adalah hubungan baik Perdana Menteri dengan Kerajaan Arab Saudi yang bukan saja membawa pelaburan puluhan bilion ringgit ke negara ini, malah turut memanfaatkan umat Islam dengan pertambahan kuota haji buat jemaah Malaysia.

"Begitu juga hubungan baik kita dengan negara China yang dikritik pihak pembangkang. Perdana Menteri kita ke China dikritik macam-macam, tapi hasilnya permintaan getah dari China meningkat dan harga getah juga meningkat di negara kita.

"Penoreh getah di Sik gembira, tapi pembangkang pula yang sakit hati?," ujar beliau lagi.


Kata beliau, kepimpinan UMNO dan BN tetap bekerja keras untuk rakyat di negara ini, namun sering diganggu oleh pihak pembangkang dengan tohmahan dan fitnah yang direka-reka untuk mencetus kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Malah katanya, di zaman serba intenet ini menyaksikan penguasaan pembangkang yang memperguna medium media sosial untuk menyebar dakyah dan propaganda mereka yang kononnya rakyat Kedah tidak lagi yakin pada UMNO dan BN.

"Jentera propaganda mereka memang hebat. Ada saja cerita yang direka-reka. Cerita tak betul disensasikan, siapa yang tidak selidik akan ditipu hidup-hidup. Itu cara mereka, itu kerja mereka dan mungkin diupah buat begitu.

"Mereka edit gambar dan letakkan pelbagai hinaan. Zaman dulu tidak ada semua ini. Mungkin inilah kesan teknologi. Tapi ini juga akan dapat membantu kita untuk menilai siapa mereka sebenarnya. Rakyat tak suka orang bohong begitu," kata Tajudin.

Ketua UMNO Bahagian Sik itu berkata demikian ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif di sini, baru-baru ini. -Kedahnews.com