TIGA penjelajah Kelab Explorasi 7 Benua (KE7B) dijangka tiba di titik 90 darjah Kutub Utara pada esok hari, jika cuaca berterusan dalam keadaan baik.
Maklumat itu dikongsi oleh Penasihat KE7B Malaysia, Datuk Akmar Hisham Mokhles menerusi laman Facebooknya, sebentar tadi.
Ini sekali gus menjadikan tiga penjelajah negara itu iaitu Muhammad Muqharbbin Mokhtarrudin, 35; atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah, 38; dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37, bakal menamatkan ekspedisi lima hari lebih awal daripada jadual.
Mengikut perancangan jadual, sepatutnya perjalanan menawan Kutub Utara itu memakan masa selama 11 hari.
Bagaimanapun, perjalanan semakin lancar hingga membuat tiga penjelajah mensasarkan tiba di garisan penamat esok.
Sekiranya berjaya, tiga penjelajah negara ini hanya mengambil masa enam hari menamatkan ekspedisi mereka.
Berkongsi pengalaman penjelajahan mereka, Muhammad Muqharbbin atau lebih mesra dipanggil Qobin memaklumkam, pada hari ketiga mereka diganggu oleh seekor beruang kutub.
Haiwan liar tersebut dikatakan menghampiri khemah salah satu kumpulan lain hingga menyebabkan mereka terpaksa berjaga setiap masa.
Selain itu, mereka terpaksa menempuhi cabaran seperti terlalu banyak bongkah-bongkah ais yang pecah dan perubahan latitude Kutub Utara.
“Kami terpaksa berulang kali mengangkat sledge dan berdepan dugaan terjatuh ke dalam air laut ais kerana ketebalan ais hanya antara 3 hingga 4 meter mengikut maklumat jurupandu.
“90 darjah kutub utara sentiasa berubah ubah setiap masa kerana pergerakan arus dan angin.
“Apapun perjalanan ini adalah perjalanan yang sangat unik kerana penjelajahan atas air laut berais dengan suhu antara negatif 15 hingga negatif 40 darjah Celsius,” tulisnya seperti yang dipetik di Facebook Akmar.
Sebagai rekod, Muhammad Muqharabbin yang juga Presiden KE7B merupakan Pendaki Everest 2004 dan Pendaki Malaysia Pertama menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia pada 2010.
Shahrom yang merupakan atlet sukan lasak dualthon dan triathlon negara, baru sahaja berjaya menamatkan misi rentas Kutub Selatan pada 2015.
Sementara Muhammad Irwan pula adalah atlet sukan lasak dan pernah menjayakan misi merentas Greenland pada 2014. –Kedahnews.com