FAM: Gantung Terus Pemain, Pegawai Atur Perlawanan


KOTA KINABALU – Pemain dan pegawai bola sepak yang terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan akan digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti sukan itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, keputusan itu adalah antara sasaran baru Exco FAM untuk menangani isu rasuah dalam bola sepak negara.

“Kami (FAM) akan melakukan yang terbaik dengan pihak berkuasa, sama ada polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menangani masalah keganasan, mengatur perlawanan dan sebagainya.

“Buat masa ini, jawatankuasa disiplin, jawatankuasa integriti dan semua lembaga disiplin perlu lebih tegas kerana saya tidak berkompromi apabila membabitkan rasuah,” titah baginda lagi.

Tunku Ismail bertitah demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco FAM yang pertama sejak jawatankuasa bagi penggal 2017-2021 dilantik pada 25 Mac lepas, di sini semalam.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu juga bertitah, FAM telah memberi akses penuh kepada SPRM untuk menyiasat secara menyeluruh ke atas semua persatuan negeri dan kelab serta badan induk itu sendiri, bagi bantu FAM menangani rasuah bola sepak.

Baginda juga bertitah, penyokong pasukan yang terlibat dalam keganasan sewaktu perlawanan akan juga mengakibatkan pasukan mereka dipotong mata, berbanding hukuman denda kerana gagal mengawal penyokong.

TMJ menjelaskan denda yang dikenakan ke atas persatuan atau kelab tidak mampu menebus kesakitan atau kesukaran yang dialami pasukan terlibat dan penyokong mereka perlu menanggung sama tanggungjawap atas sikap mereka.

“Oleh itu, akan ada potongan mata supaya penyokong sedar apabila mereka mencetuskan kekecohan, mangsa sebenar adalah pasukan mereka, bukannya persatuan atau ahli kelab,” titahnya.

Mengenai pelantikan jurulatih kebangsaan, Tunku Ismail bertitah, baginda akan menemui beberapa jurulatih luar negara dalam masa terdekat dan dijangka menamakannya dalam masa beberapa minggu lagi.

Mengulas mesyuarat exco itu, baginda bertitah, FAM bersetuju membayar hutangnya kepada pasukan yang membabitkan RM9 juta, sambil menegaskan mereka juga perlu melunaskan hutang masing-masing sebaik menerima pembayaran daripada FAM atau berdepan tindakan serius.

Tunku Ismail mengakui kewangan FAM tidak begitu baik apabila beliau mengambil alih kepimpinan 12 hari lepas dan bagi melunaskan hutang mereka, ia perlu mengambil daripada simpanan tetap, keputusan yang dianggapnya kurang bijak.

Bagaimanapun, baginda bertitah faktor itu turut memberi semangat untuk FAM bekerja lebih kuat bagi menambah kantung mereka serta mendapatkan semula dana dan mengatasi kerugian mereka. – BERNAMA