FAM Lunas Hutang RM9 Juta 24 Pasukan Liga M


KOTA KINABALU – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengeluarkan wang simpanannya sendiri bagi melunaskan hutang yang ditanggung 24 pasukan Liga-M berjumlah RM9 juta.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, langkah kecemasan itu diambil untuk memastikan pasukan Liga-M mampu menyelesaikan hutang terutama isu tunggakan gaji pemain.

Keputusan dramatik di luar jangkaan itu menyaksikan sejumlah 12 pasukan Liga Super bakal menerima sebanyak RM500,000, manakala 12 pasukan Liga Premier pula dijangka mendapat RM250,000 setiap pasukan.

“Kita mahu pasukan-pasukan dalam kedua-dua liga ini dapat menyelesaikan segala bayaran yang tertunggak kepada pemain mereka sendiri, jadi kami (FAM) perlu mengeluarkan wang daripada deposit tetap.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku tetapi kami sebagai badan induk bola sepak tanah air pun mahu menamatkan isu ini dengan segera,” titah Tunku Ismail, memetik laporan portal mStar.

Baginda bertitah demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco FAM yang diadakan di sini pada Sabtu.

Presiden FAM itu berkata: “Pasukan Liga-M akan diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikannya selepas mereka telah menerima pembayaran daripada FAM. Jika mereka gagal, tindakan akan diambil terhadap mereka.

“Pasukan yang ingkar akan berhadapan pengurangan mata dan tersingkir daripada Liga-M jika gagal menjelaskan yuran mereka. Ini adalah amaran terakhir daripada kami,” titah Tunku Ismail. – Agensi