FAM Mahu Lantik Jurulatih Luar Latih Jurulatih Tempatan


KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepakat untuk melantik jurulatih luar negara bagi melatih jurulatih-jurulatih tempatan dalam Persatuan Jurulatih Malaysia.

Setiausaha agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook rasmi FAM hari ini berkata jurulatih yang dilantik itu akan menjelajah ke seluruh negara bagi berkongsi pengalaman bersama jurulatih tempatan.

“Mereka (jurulatih) akan pergi ke setiap negeri untuk melatih dan memberi tunjuk ajar kepada jurulatih tempatan bagi melonjakkan pengetahuan dan mutu pengadilan bola sepak,” katanya.

Menurut kenyataan itu, FAM juga akan mengadakan satu mesyuarat bersama pengadil FAM mengenai penggunaan teknologi pengadil bantuan video (VAR) esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh dan pihak perunding diberitakan akan memberi penerangan mengenai teknologi VAR pada sidang media selepas mesyuarat yang berlangsung di Johor Bharu itu.

VAR adalah teknologi baharu yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi membantu pengadil serta menambah baik sistem dan mutu pengadilan bola sepak. – BERNAMA