Gelaran Juara Dunia Bukan Masa ‘Bersenang-Lenang’


KUALA LUMPUR – Walaupun sudah bergelar juara dunia, jaguh berbasikal trek negara, Mohd. Azizuhasni Awang tetap tidak mahu ‘bersenang-lenang’ sambil menikmati kejayaannya meraih pingat emas acara keirin di Kejohanan Dunia di Hong Kong, baru-baru ini.

Tidak seperti juara dunia yang lain, atlet berusia 29 tahun itu memendekkan tempoh cutinya dan akan pulang ke Melbourne, Australia malam ini untuk menjalani sesi latihan seperti biasa di samping memberi tumpuan kepada sesi pengajiannya di sana.

“Dah jadi juara dunia bukan masa untuk relaks. Bagi saya bila dah berada di puncak, tiada lagi tempat hendak dituju kecuali ke bawah sahaja.

“Jadi, saya hendak pastikan saya tidak ke bawah. Saya hendak segera balik ke Melbourne dan kembali bekerja lebih keras,” katanya kepada pemberita selepas sesi bertemu peminat anjuran Kumpulan CIMB di sebuah pusat beli belah di sini semalam.

Azizulhasni meluangkan masa kira-kira dua jam bersama peminat untuk berkongsi detik manis kemenangannya di Kejohanan Dunia baru-baru ini.

Sewaktu final acara keirin di Velodrom Hong Kong, Mohd Azizulhasni mempamer kayuhan bertenaga untuk menewaskan pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata yang meraih pingat perak, manakala Tomas Babek dari Republik Czech memenangi gangsa.

Azizuhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman‘ juga tidak terbuai dengan kejayaan bergelar juara dunia sebaliknya berkata beliau masih individu sama yang sentiasa dahagakan kejayaan dan menghargai sokongan rakyat Malaysia sepanjang kerjaya selaku pelumba.

“Saya masih orang yang sama, sentiasa mahu berikan persembahan terbaik, berlatih bersungguh-sungguh sewaktu latihan. Selalunya, bila pelumba dapat gelaran dunia, mereka akan ambil cuti panjang untuk redakan tekanan kerana banyak perkara yang perlu dikorbankan sewaktu persiapan ke Kejohanan Dunia.

“John (Beasley – ketua jurulatih trek negara) beri saya dua atau tiga minggu (cuti) tapi saya minta tiga hingga empat hari sahaja dan terpaksa tambah hingga enam hari untuk komitmen dengan penaja dan juga peminat serta penyokong yang jadi sebahagian daripada kejayaan saya hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azizuhasni berkata beliau akan berbincang dengan Beasley mengenai perancangan akan datang khususnya bagi menghadapi Kejohanan Dunia serta dua temasya sukan iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

Menurutnya, kemungkinan strategi sama digunakan iaitu hanya beraksi di kejohanan tertentu sebelum menghadapi kejohanan besar agar mencapai keputusan yang disasarkan.

“Sudah semestinya saya akan mempertahankan gelaran juara dunia tahun depan dan seberapa lama yang boleh. Jadi, untuk musim depan, saya akan berbincang dengan John, untuk sekurang-kurangnya menyertai tiga daripada lima kejohanan Piala Dunia dan kejohanan kelas B yang lain untuk mengutip mata kelayakan.

“Kita perlu memilih supaya tidak membazir masa serta tenaga agar bila tiba kejohanan sebenar yang disasarkan, kita tidak gagal memberi aksi yang diharapkan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memenuhi hasrat rakyat Malaysia khususnya anggota keluarga dan penyokong ‘Team Azizul’ beliau akan menyertai temasya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Setelah berbincang dengan Beasley, Azizulhasni akan beraksi dalam acara keirin yang mana beliau boleh memakai jersi pelangi ketika perlumbaan nanti.

“Kalau Sukan SEA di tempat lain, saya tidak berhasrat berlumba sebab hendak beri peluang kepada orang lain tapi kali ini adalah untuk rakyat Malaysia. Saya percaya kebanyakan penonton hendak saya beraksi dan tengok macam mana Azizul melakukan ‘wheelie’ di garisan penamat,” kata pelumba kelahiran Kemaman, Terengganu itu.

Sebagai rekod, kali terakhir beliau beraksi di Sukan SEA adalah pada 2007 di mana beliau meraih pingat emas acara pecut berpasukan bersama Josiah Ng dan Rizal Tisin, selain meraih dua perak masing-masing dalam pecut individu dan 1km ujian masa. – BERNAMA