Penduduk, peniaga dan pemimpin politik terlibat dalam bantahan |
Difahamkan, tindakan itu dibuat bagi memindahkan 10 gerai makan sementara di hadapan taman tersebut ke lokasi lebih sesuai.
Penduduk, Mohamad Ariff Arshad, 40, mendakwa, sisa makanan akan dibuang ke dalam longkang taman dibimbangi mengundang wabak penyakit.
“Kedai makan ini dibina hampir dengan rumah penduduk dengan bahagian belakang kedai betul-betul di hadapan longkang taman. Air sisa makanan pastinya akan dibuang ke longkang ini.
“Longkang ini asalnya untuk tampung air hujan, bila digunakan bagi tujuan kedai makan kami khuatir ia mengundang lalat, kencing tikus dan wabak penyakit lain,” katanya.
Terdahulu, hampir 10 penduduk bersama PKR Baling melakukan demonstrasi aman di hadapan binaan kedai makan tersebut, baru-baru ini.
Ariff yang juga peniaga cuci kereta berkata, lebih dikesalkan apabila MDB bertindak membina kedai makan tersebut tanpa perbincangan bersama penduduk.
Susulan itu katanya, penduduk berjumpa MDB untuk mengadakan rundingan namun tiada keputusan positif dicapai.
“Pihak tersebut tetap dengan keputusan dibuat,” katanya.
Penduduk, Fauziah Md Daud, 51, berkata, binaan kedai makan yang dibuat di kiri dan kanan jalan utama taman tersebut bakal mengganggu aliran lalu lintas.
“Jalan di sini sempit, bila dibina kedai makan, aliran lalu lintas lebih terganggu.
"Kemalangan yang kerap berlaku seperti di lokasi asal gerai makan sementara mungkin berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua AMK Baling, Mohd Aziz Sukri berkata, projek mendatangkan bahaya itu umpama melepaskan batok di tangga.
“MDB mahu selesaikan masalah peniaga tetapi bina projek di kawasan yang datangkan bahaya. Banyak risiko jika projek diteruskan.
“MDB sepatutnya berbincang dengan penduduk, ada kawasan sesuai untuk dibangunkan kedai makan. Lokasi dicadangkan di belakang premis perniagaan taman ini,” katanya.
Ketua Cabang Keadilan Baling, Rozaini Md Isa berkata, kes itu akan dilaporkan penduduk kepada SPRM, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan agensi lain.
“Hasil perbincangan penduduk bersepakat untuk laporkan perkara ini. Di pihak PKR, isu ini akan sentiasa dipantau,” katanya.
Sementara itu, sumber dalaman MDB berkata, keputusan untuk membina 35 unit kedai berkenaan telah dimuktamadkan dalam mesyuarat sebelum ini.
Sumber: Sinar Harian