Hampir Sama Dengan Beg Ikea, Rekaan Balenciaga Dijual RM9,450


JENAMA terkemuka Perancis, Balenciaga sekali lagi menjadi perbualan hangat apabila rekaan terbaru mereka dikatakan serupa dengan beg tote gedung peralatan rumah terkenal Ikea.

Kedua-dua beg itu kelihatan hampir sama dari segi saiznya seperti tali pemegang pendek dan panjang, namun ia diperbuat daripada material kulit berkedut dan logo berwarna emas manakala beg ikea adalah beg kitar semula.

Perbezaan yang lebih ketara adalah harganya kerana beg ikea yang dikenali sebagai Frakta itu hanya dijual dengan harga tidak kurang dari RM5 tetapi beg Balenciaga bernilai hampir RM9,500.

Terdapat juga pilihan warna hitam bagi rekaan yang sama tetapi harga yang lebih murah iaitu RM7,800.

Sungguh ketara perbezaan harganya namun yang pasti kedua-dua beg itu mempunyai fungsi yang sama iaitu boleh memuatkan pelbagai barangan kerana saiznya yang besar.

World of Buzz melaporkan, Ikea berbangga kerana Balenciaga menjadikan rekaan beg besar mereka sebagai inspirasi kepada koleksi beg baru jenama terkenal itu.

Bagaimanapun, Balenciaga tidak mengulas lanjut mengenai persamaan rekaan beg berkenaan.

Tahun lalu, jenama tersebut dikecam kerana rekaan begnya sama seperti beg selimut yang dijual di pasaraya dengan harga RM40,000.

Kini, jenama tersebut terus diserang netizen yang menganggap Balenciaga ketandusan idea dan menggunakan rekaan murah untuk produk mahalnya. –Kedahnews.com