Seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan tidak memakai kasut gara-gara enggan dicekup |
JITRA - Seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan hanya berkaki ayam dan memakai seluar dalam gara-gara bimbang dicekup penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu, kelmarin.
Malah, ada di antara mereka hanya memakai kain pelikat dan baru sempat memakai seluar ketika diperiksa anggota AADK di kediaman masing-masing sekitar Kubang Pasu.
Dalam operasi lebih enam jam itu, lelaki berusia 26 tahun terbabit berjaya melarikan diri sejauh 150 meter (m) sebelum dapat diberkas anggota terlibat.
Menurut Ketua Pegawai AADK Kubang Pasu, Mohd Zaki Ablah, lelaki terbabit antara empat individu ditahan dalam operasi kerana melanggar syarat seperti diperintahkan.
“Mereka berusia antara 26 hingga 46 tahun tersebut ditahan kerana telah melanggar perintah pengawasan di bawah Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.
“Pihak kami akan mempergiatkan lagi usaha menahan dan mendakwa orang kena tahan (OKT) atas kegagalan mereka melaporkan diri di Pejabat AADK Kubang Pasu dan balai polis,” katanya.
Beliau berkata, operasi sedemikian merupakan antara usaha diambil untuk merealisasikan matlamat program perangi dadah habis-habisan di daerah ini.
Katanya, mereka ditahan kerana didapati melanggar syarat perintah pengawasan, sebelum pendakwaan dilakukan di Mahkamah Majistret Jitra.
Kesemua mereka mengaku salah dan dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara dari tarikh sabitan dan tiada sebatan, sebelum ditempatkan di Penjara Pokok Sena.
Sumber: Sinar Harian