Harap Selidik Dulu Latar Belakang Sebelum Ambil Guru Tahfiz


KUALA NERANG - Kementerian Pendidikan menyeru pengurusan sekolah aliran agama persendirian terutamanya madrasah tahfiz  agar menyelidik latar belakang guru sebelum menempatkan mereka di sekolah masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia termasuklah menyiasat latar belakang pendidikan tenaga pengajar  dan rekod di mana mereka mengajar sebelum ini, agar kejadian yang menimpa pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi,11, baru-baru ini tidak berulang.

"Bagaimanapun ianya tertakluk kepada sekolah-sekolah yang berdaftar dengan kementerian serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Bagi pusat tahfiz yang ditubuhkan secara persendirian, agak sukar kementerian untuk membuat pemantauan namun kami menyarankan mereka berbuat demikian," katanya kepada pemberita pada Majlis Negaraku Menghubung Menyatu di Padang Awam Kampung Tengah, Mukim Kurong Hitam, di sini, semalam.

Beliau mengulas insiden malang yang menimpa Allahyarham Mohammad Thaqif yang meninggal dunia selepas didakwa dipukul oleh pembantu warden di sebuah sekolah tahfiz di Johor baru-baru ini.

Mahdzir sebelum ini berkata sekolah aliran agama persendirian termasuk madrasah tahfiz akan didaftar di bawah JAKIM dalam masa terdekat,  sejajar dengan program Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun ia hanya  akan dilaksanakan setelah Jakim selesai memuktamadkan beberapa perkara termasuk terma pendaftaran bagi sekolah-sekolah berkenaan. - Bernama