SETELAH beberapa tahun bertungkus lumus dalam dunia seni hiburan, pelakon comel, Janna Nick akhirnya mampu merealisasikan impiannya untuk membeli sebuah rumah kediaman sendiri.
Lebih membanggakan, anak kelahiran Kedah ini difahamkan memberi rumah tersebut pada usia yang masih muda, kini baru mencecah 21 tahun.
Gembira impiannya tercapai, Janna turut berkongsi gambar rumahnya menerusi laman Instagram.
Perkongsian itu lantas menarik perhatian peminat hingga ada yang mengangkat pelakon drama Syurga Nur ini sebagai selebriti yang wajar dicontohi.
Memetik laporan BH Online, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner memberitahu, dia sanggup mengetepikan keinginannya untuk berbelanja semata-mata ingin membeli aset pertamanya itu.
“Alhamdulillah saya berjaya menunaikan hasrat membeli rumah pada usia 21 tahun, sekali gus merealisasikan matlamat sejak mula berkecimpung dalam bidang seni.
“Tipulah jika tiada keinginan berbelanja, namun nafsu itu dapat dikawal. Saya memuat naik gambar di Instagram bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.
“Sebaliknya menyuntik semangat kepada rakan sebaya lain bekerja lebih keras demi mencapai impian. Usah mengikut gaya berbelanja boros, sebaliknya fokus untuk mengumpul aset.
“Terima kasih kepada peminat, penggiat seni dan media yang membantu saya merealisasikan impian ini. Tanpa sokongan semua pihak, saya tidak mungkin mampu meraih sasaran ini,” katanya. - Kedahnews.com