Hoki Piala Asia Jadi Medan Uji Skuad Negara


KUALA LUMPUR – Kejohanan Hoki Dalam Dewan Asia akan menjadi medan untuk menguji kekuatan skuad lelaki negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini.

Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan, Muhammad Amin Rahim berkata walaupun sasaran utama skuad adalah untuk meraih pingat emas di Sukan SEA tetapi beliau mahu anak buahnya turut mempamerkan aksi kompetitif pada kejohanan yang akan berlangsung di Doha, Qatar, pada 24-28 April ini.

Beliau berkata pasukan yang bau dibentuk di bawah program pembangunan senior bulan lepas akan menampilkan pemain hoki padang kebangsaan dan negeri, di samping empat pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sasaran utama skuad adalah untuk meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur kerana acara hoki dalam dewan ini pertama kali dipertandingkan di Sukan SEA. Namun kejohanan di Qatar itu tidak boleh diambil mudah kerana standard pasukan yang bertanding berada pada ranking terbaik dunia terutamanya Iran.

“Memang sukar untuk menandingi Iran, tetapi dalam rekod sebelum ini skuad negara sering berdepan dengan Iran pada aksi final. Skuad negara perlu menimba pengalaman sebanyak yang mungkin daripada pasukan lawan untuk memantap pasukan sebelum Sukan SEA,” katanya ketika di hubungi Bernama.

Pada kejohanan enam sebelah itu, Malaysia diundi bersama-sama Iran, Qatar dan Oman dalam kumpulan A manakala Kazakhstan, Uzbekistan, Taiwan dan Thailand berada dalam kumpulan B.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut menghantar skuad wanita beraksi dalam kejohanan yang sama dan mereka diundi bersama-sama Kazakhstan, Thailand, Uzbekistan, China dan Korea Utara.

Sebagai rekod skuad lelaki negara muncul naib juara sebanyak empat kali iaitu pada tahun 2008, 2009, 2010 dan 2014 manakala pasukan hoki wanita pula pernah muncul sebagai juara pada edisi 2009.

Mengenai cabaran di Sukan SEA, Muhammad Amin berkata skuad lelaki tidak boleh memandang rendah dengan pasukan Thailand dan Indonesia.

“Thailand turut akan beraksi di Qatar nanti jadi kita perlu mengambil peluang membaca permainan mereka kerana pasukan itu adalah antara pasukan lawan yang kuat pada Sukan SEA nanti. Selain Thailand, kita perlu berhati-hati dengan Indonesia.

“Thailand dan Indonesia sudah pasti menyasarkan pingat emas dalam acara hoki dalam dewan kerana mereka tahu kekuatan pasukan kita adalah hoki padang,” katanya.

Sukan SEA Kuala Lumpur akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.
​​​​​​​

SENARAI PEMAIN KE DOHA:

LELAKI:
Penjaga Gol: Muhammad Zaimi Mat Deris, Mohd Khairul Afendy Kamaruzaman
Kapten: Muhammad Najib Abu Hassan
​​​​​​​
Mohd Ashran Hamsani, Mohd Hanip Che Halim, Rafizul Ezry Mustafa, Mohd Norhafizie Jamil Azomi, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Aslam Mohammad Hanafiah, Kevin Frederick Lim, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Mohd Syafiq Yaakop..

WANITA:
Penjaga Gol: Siti Noor Hafiza Zainordin, Nor Aini Mohd Tajuddin
​​​​​​​
Kapten: Nor Izaidah Ibrahim

​​​​Qasidah Najwa Muhammad Halimi, Nurliyana Mohd Kip, Noorain Mohd Arshad, Ellya Syahirah Ellias, Nurul Najah Abd Rashid, Nur Aisyah Yaacob, Nur Aisyah Hashim, Iren Hussin, Priyangga S. Jayarajah. – BERNAMA