PALM BEACH – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menghamburkan sebarang komen lantang anti-China, sebaliknya memuji hubungan ‘cemerlang’ dengan rakan sejawatannya, Xi Jinping.
“Kita mencapai kemajuan besar dalam hubungan dengan China,” kata Trump ketika ucapan penutup pada mesyuarat pertama dua pemimpin negara itu di pusat peranginan Mar-a-Lago, Florida.
Nada mesra itu jauh berbeza dengan kempen lancang Trump sebelum ini yang mendakwa China ‘merampas’ ekonomi AS dan bersumpah akan menghukum Beijing dengan mengenakan tarif yang tinggi.
Jinping dalam ucapan balasnya berkata sidang kemuncak itu mempunyai ‘kepentingan yang unik’ dan mengucapkan terima kasih kepada Trump atas layanan yang cukup mesra.
Sumber yang dimaklumkan mengenai rancangan Jinping menjanjikan pakej pelaburan China bagi mewujudkan lebih 700,000 pekerjaan kepada penduduk AS, jumlah sama yang ditawarkan saingan serantau Jepun kepada Trump ketika lawatan Perdana Menteri Shinzo Abe ke Mar-a Lago Februari lalu.
Sebagai balasan, Jinping berharap untuk mendapatkan jaminan daripada Trump mengenai tarif punitif dan penangguhan jualan senjata Amerika kepada Taiwan, sekurang-kurangnya sehingga selepas mesyuarat Parti Komunis utama pada akhir tahun ini.
Dalam pertemuan itu, Trump juga memaklumkan kepada pemimpin Cina itu mengenai serangan 60 peluru berpandu Tomahawk dari kapal perang AS di Laut Mediterranean ke atas pangkalan udara Shayrat di Syria. – AFP