Husam Musa Sah Dilantik Naib Presiden PAN


KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (PAN) melantik Datuk Husam Musa mengisi jawatan Naib Presiden parti itu, berkuat kuasa Ahad.

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Tahir pada sidang media Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Himpunan Cina Selangor - Kuala Lumpur.

"Sukacita dimaklumkan Datuk Husam yang ketika ini menjadi penasihat PAN Kelantan dilantik mengisi jawatan naib presiden parti.

"Perlantikan ini adalah sebagai memenuhi usul yang diterima sebulat suara dan berkuatkuasa hari ini," katanya.

Kata Anuar, Husam akan mengetuai jawatankuasa hala tuju parti untuk pilihan raya umum akan datang dan menjadi anggota kanan biro politik parti itu.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu adalah salah seorang pembentang kertas kerja pada seminar berkenaan.

Bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dipecat PAS dan mengumumkan menyertai PAN pada akhir Ogos tahun lalu.

Sumber: Sinar Harian