Ibrahimovic Dijangka Terpaksa "Rehat" Sepanjang Tahun


PENYERANG Manchester United dijangka terpaksa berehat sepanjang tahun ini berikutan kecederaan di lutut kanannya.

Berita tersebut pastinya memberi tamparan hebat kepada Manchester United yang berharap dapat menjuarai trofi Liga Europa serta menamatkan saingan Liga Perdana di tempat keempat musim ini.

Bintang Sweden yang merakam 28 gol sepanjang musim pertamanya di Old Trafford ini disahkan cedera apabila tisu lurut kanannya terkoyak.

Kecederaan tersebut berlaku ketika aksi kemenangan ke atas Anderlecht saingan suku akhir Liga Europa awal pagi Jumaat.

Ia sekaligus menyaksikan hasrat Ibrahimovic untuk membantu United meraih kemenangan pada perlawanan separuh akhir bertemu Celta Vigo Mei ini tidak kesampaian.

Lebih memeningkan kepala pengurus United, Jose Mourinho apabila seorang lagi pemainnya Marcos Rojo turut diusung keluar ketika menentang Anderlecht.

Malah Chris Smalling serta Phil Jones juga turut mengalami kecederaan di bahagian lutut dan jari kaki.

"Kami dalam masalah. Pada saat ini Eric Bailly telah bermain enam perlawanan berturut-turut dan kami kehilangan Marcos Rojo selepas Jones dan Smalling.

"Dan kini kami turut kehilangan Zlatan. Tetapi di bahagian serangan, kami masih mempunyai pilihan apabila Rooney akan kembali.

"Kami akan lihat juga jika (Juan) Mata boleh kembali beraksi sebelum tamat musim ini," jelas Mourinho.

Sumber: mStar