ALOR SETAR - Kecemerlangan graduan anak Kedah yang berjaya menamatkan program Internship Anak Muda Negeri (IMAN) mampi melahirkan kepimpinan eksekutif berbudaya fikir di kalangan penjawat awam di negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, selain memberikan pendedahan dan pengalaman sebenar memberi khidmat terbaik kepada rakyat Kedah, IMAN juga dapat menggilap potensi graduan muda untuk terus berfikir secara matang.
"Di universiti, mereka mungkin hanya belajar mengenai teori, namun selepas diberi peluang selama 6 bulan bersama kerajaan negeri, barulah anak-anak kita ini tahu bagaimana realiti sebenar usaha keras kita memberikan khidmat terbaik kepada rakyat setiap hari.
"Melalui IMAN, potensi anak-anak kita ini digilap menjadi lebih matang mengamalkan budaya berfikir dengan melahirkan idea-idea segar dan lebih matang khususnya dalam kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri," katanya.
Ahmad Bashah berkata demikian ketika berucap meraikan 24 peserta "sulung" program di majlis makan malam graduasi IMAN yang turut dihadiri oleh ibu bapa peserta, ketua-ketua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri di TH Hotel, semalam.
Sementara itu, Setiausausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, program IMAN memberikan banyak pendedahan kepada graduan muda Kedah dan pesertanya telah memperlihat kesungguhan dalam tugasan-tugasan yang diberi.
"Apa yang saya nampak dari program ini amat baik. Mereka dapat banyak pendedahan dalam pentabdiran dan pengurusan kerajaan negeri di pelbagai jabatan dan bahagian.
"Orang muda seperti mereka ini sudah semestinya 'laju' bekerja. Secara keseluruhan saya lihat prestasi mereka adalah bagus dan membantu sama ada kepada kerajaan negeri mahupun diri mereka sendiri," ujar beliau ketika ditemubual Kedahnews.com.
Beliau sebelum ini telah menerima seorang peserta IMAN, Noor Idayu Rosli yang merupakan graduan ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi dari Universiti Nottingham, untuk bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang menjadi tulang belakang kepada program ini berkata, laporan dari ketua-ketua jabatan mengenai prestasi peserta-peserta IMAN sesi ini cukup cemerlang.
"Jadi saya yakin, lebih daripada separuh jumlah peserta IMAN ini bakal diserap masuk atau ditawarkan ke jawatan tetap dan kontrak nanti," katanya ketika ditemui di majlis tersebut.
Walau bagaimanapun katanya, peserta yang tidak menerima tawaran selepas program ini berakhir akan tetap mendapat kelebihan ekoran memiliki pengalaman, pendedahan dan jaringan kerjaya yang lebih luas dalam tempoh 6 bulan itu.
Justeru itu melalui "tambah nilai" itu, beliau yakin mereka akan lebih mudah untuk mendapatkan pekerjaan pada masa yang akan datang dan mampu mencapai kecemerlangan dalam kerjaya yang mereka ceburi. - Kedahnews.com