IMAN Mula Membuahkan Hasil Pertama Kepada Negeri Kedah


ALOR SETAR - Kira-kira 100 hari selepas memegang tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak lagi menoleh ke belakang dan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar Kedah.

Tidak menghiraukan tohmahan kononnya beliau 'lena', anak jati negeri Kedah itu bertungkus-lumus meneruskan kesinambungan kecemerlangan Kerajaan Barisan Nasional dengan mengumumkan program Internship Anak Muda Negeri (IMAN), salah satu inisiatif beliau dalam rangka besar, Bantuan Rakyat Kedah, atau lebih dikenali sebagai BARAKAH.

Buat pertama kalinya, Ahmad Bashah memberi peluang kepada graduan anak Kedah untuk merebut peluang bekerja bersama Kerajaan Negeri dalam usaha pembangunan modal insan serta kecemerlangan pendidikan anak-anak negeri ini bagi memastikan kemajuan negeri itu seiring arus pembangunan negara ke arah negara maju.


Seramai 1,052 graduan anak negeri Kedah telah memohon untuk menyertai program IMAN yang pertama kali diperkenal pada tahun lalu dan 100 pemohon yang disenarai pendek untuk ditemuduga bagi memilih 25 peserta bertuah untuk mengikuti program tersebut.

Dalam jumlah 100 calon yang disenarai pendek itu, mereka perlu merebut peluang untuk mengisi 25 tempat untuk menyertai program yang akan memberikan pendedahan secara praktikal dan menyeluruh di dalam pentadbiran Kerajaan BN Negeri Kedah.

Program diilhamkan Ahmad Bashah itu menyaksikan 25 peserta yang terpilih ditempatkan di pejabat Menteri Besar Kedah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco-Exco Kerajaan Negeri, jabatan, agensi, anak-anak syarikat kerajaan negeri dan sebagainya bagi tempoh 6 bulan.

Menyedari kepentingan pembangunan modal insan khususnya kepada anak-anak Kedah, IMAN diwujudkan bagi membuka peluang kepada graduan-graduan anak negeri berfikir di luar kotak dengan mencetus dan memperkembang idea-idea baru bagi memajukan negeri jelapang padi ke arah yang lebih baik.


Menerima sambutan hangat dari graduan-graduan anak Kedah pada sesi pengambilan pertama peserta IMAN, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengumumkan berita baik buat mereka kepada Kedahnews.com dalam satu temubual eksklusif di sini, hari ini.

"Untuk makluman semua graduan anak Kedah, program IMAN ini akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri pada sesi yang akan datang dengan pertambahan tiga kali ganda.

"Pada sesi pertama yang lalu kita ambil seramai 25 orang peserta, tapi pada sesi akan datang insyaAllah kita akan gandakan lagi pengambilan seramai 100 orang peserta," katanya, membuka peluang kepada graduan anak Kedah pada sesi yang dijangka bakal dibuka Oktober ini.

Mengulas lanjut mengenai 25 peserta sulung program IMAN yang telah berjaya menamatkan program berkenaan selama enam bulan di bawah seliaan Kerajaan Negeri, Shaiful Hazizy turut mengumumkan seramai 15 peserta cemerlang yang akan diserap masuk sebagai kakitangan awam kerajaan negeri.

"Saya mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta internship yang telah mendapat penilaian yang tertinggi dari jabatan masing-masing.

"Pada sesi tahun kali ini, kita telah tetapkan 15 tempat kepada peserta IMAN. Jadi saya yakin bahawa program ini akan menjadi satu medium untuk anak-anak Kedah memperluaskan kerjaya mereka dengan lebih cerah," katanya gembira dengan hasil membanggakan anak-anak Kedah dalam menabur bakti kepada rakyat Kedah dalam tempoh tersebut.

Mengulas mengenai pencapai 25 peserta IMAN kali ini, Shaiful Hazizy menjelaskan bahawa beliau menerima maklum balas yang sangat positif dari semua pihak yang menyelia perkembangan peserta dan mereka dikatakan sangat membantu.

"Saya dapat laporan dari majikan-majikan, jabatan-jabatan dan anak syarikat Kerajaan Negeri bahawa peserta-peserta IMAN ini banyak membantu dan diberi pendedahan yang luas untuk belajar tentang kerjaya yang mereka ceburi," ujar beliau.

Justeru itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah itu mempelawa kepada graduan-graduan anak Kedah di segenap pelosok negeri untuk tidak melepaskan peluang dengan membuat permohonan untuk menyertai program IMAN pada sesi yang akan datang.

Jelasnya, program ini amat penting bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan di kalangan kakitangan awam negeri, khususnya dalam menggilap bakat-bakat kepimpinan baru dengan menyajikan idea dan penambahbaikan yang lebih segar demi kepentingan negeri dan rakyat.

"Saya harap, graduan-graduan anak Kedah di luar sana mengambil peluang keemasan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini," katanya lagi.

Program IMAN difahamkan berakhir hari ini di mana 25 peserta pertama pada sesi kali ini akan diraikan dalam satu majlis makan malam graduasi yang diadakan di sini, malam ini. -Kedahnews.com