Institusi Zakat Di Kedah Akan Terjejas Jika...

Zakaria (berdiri, kiri) meninjau proses penyampaian Bantuan Awal Persekolahan kepada 600 penerima fasa keenam bagi daerah Kuala Muda
SUNGAI PETANI - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyeru amil dari negeri lain agar tidak melakukan kutipan zakat di negeri ini kerana mampu melumpuhkan institusi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman berkata, tindakan pihak luar yang menempatkan amil beroperasi di negeri Kedah mampu memberi kesan terhadap jumlah kutipan zakat di negeri ini.

"Tindakan itu boleh merosakkan institusi zakat sekali gus tidak mematuhi keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Sekretariat Pengurusan Zakat Negeri-negeri (SPZN).

“Melalui siasatan, kita kenal pasti ada ejen kutipan zakat melakukan tugas di sini tetapi bekerja dengan institusi di negeri lain,” katanya ketika hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Daerah Kuala Muda, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak industri atau usahawan supaya menyumbang zakat pendapatan di negeri di mana syarikat berkenaan beroperasi.

“Kita mahu kutipan zakat di Kedah diagihkan kepada asnaf di negeri ini di mana dalam kaedah hukum juga ditetapkan perlu memberi zakat di mana negeri beroperasi,” katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 600 pelajar menerima Bantuan Awal Persekolahan semalam yang juga merupakan fasa keenam penyampaian bantuan itu.

“Kita menerima 4,500 permohonan bagi skim ini, setakat ini 3,000 permohonan sudah diluluskan dan baki permohonan dijadualkan diagihkan dalam dua fasa lagi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian