INVOKE Hanyalah Propaganda Politik Jahat Yang Tiada Kredibiliti


ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) diyakini akan berjaya mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kerana rakyat di negara ini yakin dengan pengalaman dan prestasi cemerlang mentadbir negara sejak merdeka, bukan kerana kajian INVOKE.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kajian INVOKE yang dijalankan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, tiada kredibiliti untuk dipercayai ekoran reputasinya yang sering berbohong sebelum ini.

"Dia sudah beberapa kali 'kantoi' mengemukakan fakta tidak benar. Dia beri fakta separuh masak, sikit saja benar manakala yang lain semuanya tidak tepat. Sudah banyak kali kalah di mahkamah.

"Jadi, apa rasionalnya untuk kita percaya pada kajian INVOKE yang dia buat? Boleh percayakah dia buat kaji selidik? Saya tidak yakin langsung padanya mahupun kajiannya," tegasnya ketika ditemui Kedahnews.com, di sini hari ini.

Selain itu, Syed Mohd Johan Rizal menegaskan bahawa pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya sebelum ini pernah mengakibatkan BN tewas di tangan pembangkang.

"Itu fakta. Cuba semak pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru sebelum ini. Ada yang BN menang dan ada yang BN kalah.

"Hasil kajian Rafizi itu terlalu rapuh," ujar peguam itu.

Kata beliau, kemenangan pada PRU ke-13 yang lalu di Kedah menunjukkan keyakinan rakyat kepada BN untuk kembali menerajui pentadbiran di negeri itu gara-gara pentadbiran Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) yang tidak memakmurkan negeri dan kehidupan rakyat.

Jelasnya, rakyat di negeri ini dapat menilai dengan baik keberkesanan dan kesungguhan BN dalam membela nasib rakyat khususnya dalam soal kebajikan, ekonomi dan pendidikan, selain serius dalam menyelesaikan pelbagai masalah serta cabaran masa kini.

Rafizi sebelum ini mendakwa kajian INVOKE yang dikepalainya menunjukkan BN akan menang sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU ke-14 nanti.

Sementara itu PAS dalam kenyataan terkini, turut tidak mengiktiraf kaji selidik yang dijalankan Rafizi dan lebih yakin pada kajian yang dijalankan sendiri oleh parti itu. -Kedahnewscom