Irfan Bakti Puas Hati Skuad Penyu Layak Ke Separuh Akhir


KUCHING – Pengendali pasukan Terengganu FA, Irfan Bakti Abu Salim berpuas hati dengan kejayaan pasukan itu melangkah ke separuh akhir Piala FA 2017 biarpun terpaksa menunggu sehingga ke penentuan sepakan penalti sebelum mengatasi Sarawak 4-1 pada aksi di Stadium Negeri, di sini, malam kelmarin

“Saya berpuas hati di atas persembahan dan komitmen pemain walaupun terpaksa bermain hingga ke masa tambahan.

“Ada sedikit dukacita kita boleh menyempurnakan perlawanan seawal separuh masa pertama lagi (akibat beberapa peluang terhidang terlepas) seterusnya membawa perlawanan hingga ke penentuan penalti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam semalam.

Perlawanan malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 1-1 dengan Issey Nakajima-Farran meletakkan Terengganu di hadapan menerusi jaringan pembukaan seawal minit kesembilan sebelum Demerson Bruno Costa menyamakan kedudukan untuk Sarawak pada minit ke-80.

Sebagai rekod, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 1 April lepas.

Bagaimanapun, kemenangan skuad Penyu itu terpaksa dibayar dengan harga mahal setelah mereka kehilangan tiga tonggak utama apabila pemain tengah Mohd Faiz Mohd Nasir dan penjaga gol Amierul Hakimi Awang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan manakala penyerang Abdul Latiff Suhaimi menerima kad merah.

Kehilangan tiga pemain utama itu menyulitkan persediaan pasukan yang akan menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) II dalam saingan Liga Perdana 25 April ini di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

“Pagi esok kami akan adakan latihan sebelum bergerak ke lapangan terbang untuk terus ke Johor Bahru. Kita lupakan sementara separuh akhir Piala FA untuk beri tumpuan kepada Liga Perdana pula.

“Berkenaan keadaan Mohd Faiz saya dimaklumkan oleh doktor tadi dia boleh bermain (menentang JDT II) tetapi saya tidak mahu ambil risiko,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, David Usop seperti hilang kata-kata melihat prestasi pasukan itu yang gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang untuk meraih kemenangan.

“Saya kena fikir semula taktikal pasukan semuanya seakan tidak menjadi malam ini sebelum kita menghadapi Kelantan di gelanggang ini pada aksi Liga Super 26 April nanti,” katanya. – BERNAMA