Isu Hampir Selesai, Mahfuz Datang Rosakkan Segalanya - Syed Ali


ALOR SETAR - Tindakan semberono Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyerbu masuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah bersama sekumpulan individu adalah amat dikesali oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Syed Ali Syed Rastan berkata, tindakan Mahfuz itu bukan saja telah mencemar Dewan yang mulia, malah telah mengusutkan lagi keadaan apabila beliau menghasut penduduk kampung terbabit berhubung isu tanah kerajaan di Bukit Pinang.

"Sepatutnya sikap keterbukaan Menteri Besar selama ini diambil peluang oleh Mahfuz untuk mengajak pihak terlibat menduduki tanah kerajaan di Bukit Pinang dengan mengadakan rundingan ke arah penyelesaian terbaik.

"Bukan dengan cara menghasut segelintir pihak terbabit melakukan sikap merusuh dan menganggu sidang Dun Kedah," tegas beliau dalam satu kenyataan media.

Syed Ali berkata, sudah lima bulan pihaknya berusaha mengadakan rundingan dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan penduduk kampung terbabit bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mencipta situasi menang-menang.

Jelas beliau, usahanya mencari kata sepakat di antara PKB dan penduduk kampung terlibat sangat hampir mencapai persetujuan bersama, namun Mahfuz datang menghancurkan segala usaha berkenaan.

"Di mana Mahfuz selama lebih 5 bulan bulan pihak UMNO berhempas pulas berunding dengan pemaju (PKB) dan penduduk bagi membantu mencari penyelesaian yang menang-menang

"Sehingga sampai ke ke tahap hampir dengan penyelesaian dengan pemaju, datanglah Mahfuz hancurkan segala harapan penduduk dengan tindakan rakusnya," kata beliau, kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengulas tindakan Mahfuz yang cuba menyalahkan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam insiden berkenaan, Syed Ali menyarankan supaya Ahli Parlimen Pokok Sena itu supaya lebih mengenali keperibadian Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurut beliau, Ahmad Bashah sememangnya sejak dulu lagi dikenali sebagai seorang pemimpin yang mengamalkan sikap terbuka, mesra dan mudah didekati rakyat.

Namun pendekatan Mahfuz yang dipercayai lebih bermotifkan politik dan tidak menghormati Ahmad Bashah itu telah mengundang rasa tersinggung Menteri Besar itu.

Justeru itu, Syed Ali meminta Mahfuz supaya lebih kerap berada di kawasan Pokok Sena dan mengambil berat tentang rakyat yang diwakili, selain cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

"Jika Mahfuz mahu menjadi 'hero' sebenar, dinasihatkan beliau untuk beri tumpuan khidmat sepenuhnya kepada Parlimen Pokok Sena yang diwakilinya.

"Bukan dengan menyerahkan tanggungjawab berkenaan untuk dipikul sepenuhnya kepada UMNO Bahagian yang saya ketuai," nasihat beliau. - Kedahnews.com