Isu Hospital Pendang: "Kenyataan Tersebut Adalah Tidak Benar" - Dr. Nor Hizan


ALOR SETAR - Dakwaan pihak tertentu yang mempersoal dan mendakwa tiada sebarang usaha dari pihak Kerajaan untuk membina sebuah hospital di Pendang merupakan satu tohmahan yang tidak benar sama sekali untuk dipercayai.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Datuk Dr. Nor Hizan Ismail menegaskan bahawa projek berkenaan sedang diteliti dan dijangka bakal ditender pada akhir tahun ini serta kerja tapaknya dijangka bermula pada pertengahan tahun 2018.

"Kenyataan tersebut adalah tidak benar. Projek ini dijangka dapat ditender pada akhir 2017 dan mula kerja tapak dijangka pertengahan tahun 2018," tegas beliau kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Malah katanya, rancangan asal projek pembinaan Hospital Pendang pada asalnya hanya untuk membina hospital daerah tanpa pakar yang hanya mempunyai 79 buah katil sahaja, namun telah dinaik taraf kepada Hospital Pendang Berpakar dengan 120 katil.

Jelas beliau, hospital yang mampu ditingkatkan kepada 250 katil itu bakal menyediakan khidmat perubatan seperti bakal menyediakan 11 kepakaran iaitu; Perubatan, Paediatrik, Pembedahan, Otopedik, Perbidanan & Sakitpuan, Kecemasan & trauma, Psikiatri, Pergigian, Bius (Anaestesia) Radiologi dan Patologi.

"Perancangan asal Hospital Pendang adalah hanya untuk membina Hospital Daerah Tanpa Pakar yang hanya berkapasiti 79 buah katil sahaja.

"Namun hasil perbincangan Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah bersetuju untuk terus dinaik taraf kepada Hospital Pendang Berpakar dengan 120 katil yang mampu ditingkatkan kepada 250 katil apabila diperlukan," jelas beliau.

Kata Dr. Nor Hizan, sebarang pindaan dari perancangan asal memerlukan penelitian semula yang terperinci dan ia adalah kritikal bagi mengelakkan pindaan kepada pelan dipersetujui semasa tempoh pembinaan dijalankan.

Mengulas mengenai perkembangan terkini usaha Kerajan dalam merealisasikan hospital yang dinanti-nanti oleh penduduk daerah Pendang itu, beliau menjelaskan bahawa satu mesyuarat baru diadakan pada 5 April lalu bagi membincangkan projek berkenaan dengan lebih teliti.

"Telah diadakan mesyuarat di Pejabat Kesihatan Pendang yang dipengerusikan oleh pegawai daripada Unit Perancang Ekonomi, JPM Putrajaya bersama pelbagai agensi antaranya Majlis Daerah Pendang, Bahagian Perancang KKM, Bahagian Pembangunan KKM, Cawangan Kerja Kesihatan JKR, SADA, TNB, Telekom, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan JPS.

Jelas beliau, mesyuarat tersebut adalah untuk mengenalpasti dan menjangka sebarang masalah mungkin yang akan menjejaskan atau melewatkan pembinaan projek ini apabila dimulakan kelak.

Antara masalah yang dikenal pasti antaranya adalah berkenaan keluasan jalan masuk hospital, isu banjir, saliran air dari hospital, jalan keluar masuk kenderaan lori semasa pembinaan projek, kemudahan tapak letak kereta dan lain-lain lagi.

"Pembinaan Hospital Pendang Berpakar ini akan pasti dilaksanakan bagi kemudahan rakyat negeri Kedah, khususnya bagi penduduk daerah Pendang.

"Pembinaan Hopital Pendang Berpakar ini dijangka dapat mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Sultanah Bahiyah malah ianya juga dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar," ujarnya. 

Ketua (Penaja) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis baru-baru ini menerusi laporan Sinar Harian mendakwa tiada sebarang usaha dari pihak Kerajaan untuk membina hospital di Pendang sebagaimana yang dirancang sebelum ini.

Menyifatkan projek pembinaan hospital tersebut sebagai "janji tinggal janji", beliau mendakwa kerajaan sebagai gagal melunaskan janji berkenaan dan telah mengecewakan penduduk di daerah tersebut. - Kedahnews.com