Isu Tan Cheng Hoe: KFA Belum Terima Apa-Apa Surat Rasmi Dari FAM


ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) belum menerima sebarang surat rasmi dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung tawaran kepada Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, yang dikatakan bakal dilantik sebagai Penolong Jurulatih skuad Harima Malaya.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihak KFA tidak dapat membuat sebarang keputusan mengenainya selagi belum menerima sebarang surat rasmi dari FAM meskipun surat dari Cheng Hoe meminta dilepaskan dari tugas beliau pada tarikh 3 April.

"Setakat hari ini kita belum menerima apa-apa surat lagi daripada pihak FAM. Kita cuma menerima surat daripada Tan Cheng Hoe.

"Kalau ikut pada surat Tan Cheng Hoe, dia akan menamatkan tugas pada 3 April (semalam)," jelasnya Aminuddin kepada Kedahnews.com, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Kata beliau, KFA konsisten dengan pendirian awal untuk enggan melepaskan Cheng Hoe, namun bersedia untuk berunding dengan FAM bagi mendapatkan penyelesaian mengenai kontroversi yang melanda antara semua pihak itu.

"Saya fikir pihak FAM perlu berjumpa dengan pihak KFA untuk kita adakan rundingan bagi mencapai kata sepakat yang baik untuk pembangunan bola sepak di dalam negeri Kedah dan juga di negara kita.

"Sebab di peringkat skuad kebangsaan pun, perlu menimbang tara ahli-ahli gabungan yang bersusah payah kita membangunkan bola sepak dalam negeri kita.

"Pelbagai cabaran kita tempuhi, komitmen kerajaan negeri yang banyak membantu persatuan khususnya dari sudut kewangan, membangunkan bola sepak dan meninggilap bakat-bakat baru," tegasnya.

Aminuddin berkata usaha membentuk pasukan Kedah yang mantap seperti sekarang bukanlah sesuatu yang mudah dan FAM perlu melihat pengorbanan besar yang telah dilakukan anggota gabungan bagi meningkatkan mutu bola sepak negeri.

Justeru itu katanya, FAM sewajarnya melihat susah payah, sumbangan dan pengorbanan KFA tersebut dalam melahirkan pemain-pemain mahupun jurulatih berbakat besar untuk membangunkan industri sukan bola sepak hingga ke peringkat kebangsaan.

Berhubung laporan yang mengatakan FAM memberi peluang kepada Cheng Hoe untuk terus bertugas bersama Kedah sehingga tamat saingan Piala FA, Aminuddin menegaskan bahawa KFA juga masih belum menerima apa-apa surat rasmi mengenainya.

Kata beliau, kerana itulah Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menekankan soal surat rasmi dari FAM berhubung apa-apa tawaran membabitkan KFA bagi membolehkan sebarang keputusan dibuat mengenainya.

"Sebab itulah kita katakan bahawa bila kita dapat surat dari FAM itu barulah kita tahu tindakan yang akan kita buat yang selanjutnya. Jadi pihak FAM dan pihak kita perlulah berbincang.

"Saya fikir, sebab itulah juga Datuk Seri Ahmad Bashah minta kepada kita supaya apa-apa pun, dapatkan dulu pengesahan daripada FAM, itu yang penting," ujar beliau.

Kata Aminuddin, KFA tidak dapat membuat keputusan hanya berdasarkan kenyataan di media sosial sahaja dan FAM sepatutnya faham mengenai prosedur rasmi tersebut untuk mencapai kata sepakat antara semua pihak.

"FAM sendiri mengeluarkan kenyataan (di media sosial). Tapi sepatutnya, apa-apa jua mestilah sampai ke pihak kita (KFA secara rasmi). Yang terlibatnya ialah Ketua Jurulatih Kedah yang ada perjanjian kontrak dengan kita.

"Takkan kita nak langgar kontrak ini? Saya ingat, semua kena faham tentang perkara ini. Saya ingin maklumkah, pihak KFA sedia berunding dengan mana-mana pihak asalkan ianya mencapai kata sepakat antara semua pihak yang terlibat," katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin menjelaskan bahawa sekiranya Cheng Hoe meminta untuk ditamatkan tugas serta merta, tindakan itu akan merencatkan pengurusan kejurulatihan KFA, termasuk memberi kesan negatif kepada skuad Helang Merah.

Katanya, KFA telah menghantar surat maklum balas kepada Ketua Jurulatih Kedah itu untuk memintanya mengemukakan surat tawaran rasmi dari FAM bagi memudahkan KFA membuat keputusan "menang-menang" bagi semua pihak.

Berhubung calon yang dikatakan bakal menggantikan Cheng Hoe, Aminuddin menjelaskan bahawa bukan mudah bagi pihak KFA untuk mencari Ketua Jurulatih yang sesuai dan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan sekiranya berlaku kekosongan jawatan tersebut.

"Kita belum lagi memutuskan lagi (pengganti Cheng Hoe). Jika jadi pun perletakan jawatan, berilah masa kepada KFA untuk dua tiga bulan. Bukan senang kita nak pastikan jurulatih yang sesuai dengan pemain-pemain dan keadaan pasukan kita sekarang.

"Sebab itu kita perlu meneliti dengan rapi sama ada mahu melantik jurulatih baru dan sebagainya. Ia bukan sesuatu yang mudah walaupun ada jurulatih yang berminat," jelas beliau lagi.

Katanya lagi, kontrak Cheng Hoe dengan KFA masih lagi sah dan hanya akan tamat selepas musim ini tamat dan sebarang perubahan mengenai kontrak berkenaan perlu mendapat persetujuan bersama antara pihak KFA dan Ketua Jurulatih Kedah itu.

"Dua-dua (KFA dan Cheng Hoe) ini perlu setuju dengan apa jua tindakan yang berlaku," tegasnya.

Mengenai status Cheng Hoe yang terkini, Aminudin menegaskan bahawa beliau masih lagi merupakan Ketua Jurulatih Kedah yang sah dan perlu menunaikan tanggungjawab itu seperti biasa.

Sementara itu Cheng Hoe ketika dihubungi media, enggan memberi sebarang ulasan mengenai permintaan KFA yang mahu beliau mengemukakan surat tawaran rasmi dari FAM bagi menghormati kepentingan semua pihak. - Kedahnews.com