Isu Tanah Kg Baru, Pokok Sena: Penduduk, Adun Derga Minta MB Campur Tangan

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah diminta untuk campur tangan dalam hal membabitkan pengambil alihan tanah di Kampung Baru, Pokok Sena, oleh Permodalan Kedah Berhad (PKB).

Wakil penduduk kampung berkenaan, Noorhanita Ali berkata, penduduk Kampung Baru itu telah lama mendiami tanah berkenaan dan sewajarnya Menteri Besar mengambil peduli berkenaan masalah yang melibatkan 16 buah rumah di tanah TOL berkenaan.

"Apa pun jadi, kalau boleh kita minta Menteri Besar campur tangan. Kita nak minta hentikan projek itu. Minta Menteri Besar campur tanganlah. Kita ini penduduk lama di situ.

Menurut Noorhanita, penduduk kampung berkenaan telah mendiami tanah milik kerajaan itu lebih 100 tahun lalu dan mereka telah diberikan status tanah TOL, serta membayar cukai tanah kali terakhir pada 2016 di pejabat tanah.

"Kita masih bayar tanah itu. Pada 2016 itu kita masih bayar lesen sementara (TOL) itu. Jadi macam mana pejabat tanah itu luluskan geran hak milik atas depa (PKB) pada 2015?," katanya yang menafikan menerima notis dari pejabat tanah berhubung hak milik tanah PKB itu.

Jelasnya, dalam perbincangan sebelum ini dengan pihak PKB, penduduk kampung berkenaan ditawarkan tiga bentuk tawaran sebagai pampasan dari pengambil alihan tanah berkenaan.

"Satu, depa nak bagi kita duit RM20,000, pergilah ke mana kita hendak pergi. Yang kedua, mereka hendak beri rumah kepada kita di Naga, tapi berbayar. Yang ketiga, katanya nak bagi tanah, nak bagi rumah, nak bagi geran.

"Tapi (tawaran) yang ketiga ini, kita tanya balik, betulkah nak bagi geran, nak bagi tanah, nak bagi rumah? Tidak depa kata, rumah buat sendiri, tanah saja kami bagi. Macam main-mainkan kita penduduk kampung ini," jelasnya.

Noorhanita turut mempersoal tentang tindakan PKB yang mahu memindahkan penduduk berkenaan di tanah lembah yang kedudukannya rendah, sedangkan kawasan rumah penduduk yang berada di kedudukan lebih tinggi mahu dijadikan loji kumbahan.

Dia turut mencadangkan supaya pihak PKB menggunakan tanah lembah yang lebih rendah itu dijadikan tapak loji kumbahan dan tidak mengganggu kawasan kampung yang tersebut yang lebih tinggi kedudukannya.


Sementara itu, Adun Derga, Tan Kok Yew yang turut hadir bertemu dengan pihak PKB di Wisma PKNK di sini, turut menuntut Menteri Besar supaya campur tangan dalam hal membabitkan isu pengambil alihan tanah tersebut.

Jelas beliau, Ahmad Bashah yang juga merupakan Pengerusi PKB sewajarnya mengambil tindakan yang memberi manfaat kepada semua pihak dalam isu yang dilihat wujud kekeliruan berkenaan status tanah tersebut.

"Isu ini, Menteri Besar kena campur tangan. Menteri Besar kena tengok jugak kerana beliau adalah Pengerusi PKB. Menteri Besar patut ambil satu tindakan yang memberi faedah kepada semua, itu yang penting.

"Isu ini agak rumit kerana semua telah dicampur aduk. Kenapa tanah yang masih di bawah TOL dan dibayar itu diberi kepada orang lain? Nampak ada kekeliruan di situ," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Selain itu, pemimpin DAP itu juga menegaskan bahawa tindakan PKB memilih tanah yang lebih rendah untuk dijadikan loji kumbahan adalah tidak logik dan bakal mengakibatkan kos berlipat ganda untuk mengorek tapak loji kumbahan yang dikatakan sepatutnya berkedudukan rendah.

"Kurang logik. Kenapa tapak yang rendah sangat itu hendak dijadikan tapak rumah orang, dan tapak yang tinggi itu hendak dijadikan tapak (loji) kumbahan?

"(Loji) kumbahan dalam fikiran kita ialah rendah dan kemungkinan akan berlaku kos korek semua. Jadi ini akan jadi kos bergandalah," katanya ketika ditemui di sini.

Jelas Adun Derga itu, pertemuan beliau bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar, dengan pihak PKB pagi tadi tidak dihadiri oleh jurutera dari anak syarikat berkenaan.

Justeru itu katanya, beliau mahukan penjelasan lanjut dari pihak PKB berkenaan isu pengambil alihan tanah yang melibatkan rumah penduduk di kampung tersebut. - Kedahnews.com