Isu TCH: "Kami Tetap Fokus Perlawanan Sabtu Ini" - Khairul Helmi

Ketua pasukan Helang Merah, Khairul Helmi Johari, jersi 13 sedang menjalani latihan di Padang Paremba petang semalam.
ALOR SETAR - Semua pemain skuad Helang Merah nekad untuk terus memberi fokus terhadap setiap perlawanan yang bakal dihadapi dalam mengharungi baki perlawanan Liga Super dan tidak terlalu terkesan dengan isu yang membabitkan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.

Ketua pasukan Helang Merah, Khairul Helmi Johari berkata, meskipun menyedari tentang isu perletakan jawatan Ketua Jurulatihnya itu, setiap pemain Kedah tetap komited bersemangat menjalani latihan seperti biasa sebagai persediaan menghadapi skuad PKNS pada Sabtu ini.

"Dari apa yang saya lihat, selepas perlawanan dengan PKNP tempohari, isu itu sudah timbul. Tapi kami langsung tidak beri perhatian sangat mengenainya sebab ketika itu ia hanya dianggap khabar angin sahaja.

"Kami semua tahu isu (status Tan Cheng Hoe) ini sedang hangat diperkatakan, tapi kami pemain tetap memberikan tumpuan terhadap latihan seperti biasa dan buat persediaan rapi untuk bertemu PKNS pada Sabtu ini," jelasnya kepada Kedahnews.com, di sini lewat petang semalam.


Selaku Ketua Pasukan, Khairul Helmi mengharap supaya dirinya dan setiap pemain Kedah tidak akan memandang remeh cabaran PKNS pada Sabtu ini dan mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan untuk kali ke-23.

Dia yang mesra disapa dengan panggilan "Keon" turut berharap agar seluruh peminat Hijau Kuning akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada skuad Kedah dalam menghadapi cabaran Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

"Saya harap rakan-rakan seperjuangan saya, kita tidak ambil mudah pertemuan dengan PKNS nanti. Kita perlu kekalkan rekod tanpa kalah ke-23 kali ini.

"Tambahan pula perlawanan ini nanti di stadium Darul Aman, saya harap penyokong pasukan Kedah akan tetap memenuhkan stadium dan terus memberikan sokongan kepada pasukan walau apa pun yang berlaku," katanya lagi.


Tinjauan Kedahnews.com di lokasi latihan skuad Kedah di Padang Paremba petang semalam menyaksikan para pemain turun menjalani latihan seperti biasa dan Cheng Hoe tetap komited menunaikan tanggungjawabnya sebagai Ketua Jurulatih.

Kedah baru-baru ini menewaskan PKNP FC dengan jaringan 6 - 1 di laman sendiri bagi saingan suku akhir pertama Piala FA dan membawa kelebihan 5 gol untuk perlawanan timbal balas kedua yang bakal berlansung di Perak nanti.

Manakala di peringkat saingan kejuaraan Liga Super, Kedah sedang berada di takhta liga dan dijangka antara pasukan yang paling berpotensi untuk muncul juara pada musim ini selain pasukan ternama seperti Johor Darul Takzim (JDT), Felda United dan Pahang.

Cheng Hoe sebelum ini mengejutkan seluruh penyokong pasukan Kedah apabila mengesahkan telah mengajukan surat perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan memohon ditamatkan kontrak lebih awal.


Difahamkan, surat Cheng Hoe yang diterima KFA pada 1 April lalu meminta kontrak beliau ditamatkan pada 3 April ekoran menerima tawaran sebagai Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan dari Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM).

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam satu kenyataan telah menegaskan bahawa Cheng Hoe perlu mengemukakan surat tawaran rasmi dari FAM bagi memudahkan pihak persatuan membuat tindakan susulan.

Beliau menegaskan bahawa Cheng Hoe masih merupakan Ketua Jurulatih Kedah yang sah dan kedudukan tersebut kekal selagi surat tawaran rasmi FAM tidak dikemukakan kepada KFA sebagaimana yang sepatutnya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar menjelaskan bahawa pihak KFA sedia berunding dengan FAM berhubung status Cheng Hoe, namun badan bola sepak kebangsaan itu perlu mengikut saluran rasmi dan bukan menerusi kenyataan di media sosial. - Kedahnews.com