Jabatan Perikanan Kedah Rampas 2,700kg Benih Kerang

Lori muatan benih kerang yang ditahan Perikanan Kedah Jumaat lepas.
KUALA KEDAH - Jabatan Perikanan Kedah merampas benih kerang bernilai RM150,000 seberat 2700 kilogram (kg) cuba di seludup ke negara jiran di Kampung Eriang, Changlun, di sini, pada 21 April lepas.

Berdasarkan maklumat dan risikan, pihak Perikanan Kedah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori sekitar jam 8.00 malam yang dalam perjalanan menghantar benih kerang untuk pasaran Thailand.

Ketua Pangkalan Utama Pangkalan Perlindungan Sumber, S.Subramaniam berkata, hasil pemeriksaan menemukan 150 guni mengandungi benih kerang dalam lori dibawa dari Selangor menuju ke Changlun itu.

"Namun, dua pemandu berusia 30 dan 35 tahun yang membawa lori muatan benih kerang terbabit mendakwa mereka hanya diarahkan membawa lori itu, dan tidak tahu menahu isi muatan kenderaan tersebut.

"Benih kerang itu dibawa menaiki lori, sebelum cuba diangkut secara transit menggunakan kereta melalui perkampungan itu demi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Kata Subramaniam, siasatan lanjut mendapati sebanyak 15 kereta cuba digunakan mereka untuk memuatkan benih kerang secara tidak sah itu, untuk di bawa keluar dari Kedah.

"Sebuah kereta mampu memuatkan sekitar 15 guni benih kerang. Untuk setiap guni benih kerang dibawa keluar ke negara jiran, mereka diupah sekitar RM50," katanya.

Disebabkan itu, katanya, ada individu sanggup mengambil risiko demi mengaut keuntungan lumayan kerana permintaan tinggi terhadap benih kerang tersebut.

Katanya, nilai pasaran tinggi sehingga mencecah RM1,000 untuk setiap guni menyebabkan ada pihak cuba mengaut untung dengan menjual benih kerang tersebut.

"Dengan modal RM200 sahaja, mereka boleh untung lagi RM800 kerana benih kerang sememangnya mendapat sambutan di Thailand akibat pengeluaran hidupan itu di sana kurang menjadi," katanya.

Tambahnya, kejayaan menumpaskan aktiviti penyeludupan keluar benih kerang adalah kali kedua tahun ini, selepas kes Hutan Kampung pada Januari lepas.

Sumber: Sinar Harian