Jangan Jual Kepak Ayam Tidak Selamat – KPDNKK Sarawak


KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak hari ini memberi amaran kepada mereka yang menggali kepak ayam yang dibuang di Bukit Aup, Sibu, semalam, supaya tidak menjualnya sebagai makanan kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Abd Hafidz A Rahim berkata mereka yang menjual kepak-kepak ayam itu boleh dikenakan tindakan kerana menjual barang yang tidak selamat kepada pengguna.

Beliau berkata mereka yang berbuat demikian boleh disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman RM100,000 bagi individu atau RM250,000 bagi syarikat, atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kami akan pantau perkara ini. Siapa yang lakukannya kita tak pasti, dan kami tidak dapat halang sesiapa yang hendak ambil bahan itu, tapi yang pastinya ia tidak selamat kerana dah ditanam,” katanya dalam sidang media di pejabat KPDNKK di sini hari ini.


Semalam, beberapa penduduk kampung sekitar Bukit Aup dilaporkan pergi ke kawasan pembuangan itu dan menggali kepak-kepak ayam yang ditanam di dalam tanah selepas mengetahui mengenai pembuangan bahan-bahan itu, dengan gambar serta video orang ramai sedang menggali menjadi tular menerusi media sosial.

Merujuk kepada tindakan menanam ayam-ayam tersebut, Hafidz berkata beliau tidak tahu pihak mana yang melakukannya, dan KPDNKK memantau isu berkenaan kerana ayam adalah satu daripada barang kawalan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang memungut dan menjual semula kepak-kepak ayam itu supaya memaklumkan kepada pihak KPDNKK supaya dapat diambil tindakan. – BERNAMA