Jawatan Petugas Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 Cetus Tular


BEIJING – Laman web rasmi bagi permohonan petugas dari seluruh dunia untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang dilancarkan pada 20 Mac, dilayari lebih 300,000 pengunjung.

Ia melibatkan pemohon dari 112 buah negara dan wilayah serta setakat ini menerima sejumlah 2,800 permohonan bagi mengisi kekosongan dalam jawatankuasa penganjur.

Agensi berita China Xinhua melaporkan, sejumlah 22 petugas akan direkrut untuk 21 jawatan termasuk 11 petugas dari seluruh dunia bakal dilatih bagi mengisi kekosongan 10 jawatan.

Jawatan ditawarkan membabitkan dalam aspek perancangan dan pembinaan, pengurusan acara, pemasaran, media, kewangan, undang-undang dan bahasa asing.

Permohonan ditutup pada 31 Mac dan kini proses pemilihan peringkat awal sedang dilakukan.

Menurut penganjur, hampir 2,300 orang memohon mengisi pelbagai jawatan setakat ini, sementara lebih 500 lagi berdaftar untuk kumpulan bakat berpotensi tinggi (talent pool).

Mereka yang berminat bertugas di Beijing 2022 tetapi tidak memenuhi kelayakan ditetapkan, boleh layari laman web berkenaan dan memohon kemasukkan dalam kumpulan bakat berpotensi tinggi

Permohonan datang dari pelbagai latar belakang kerjaya termasuk perusahaan transnasional, perusahaan berskala besar, institusi awam, universiti terkenal dan syarikat luar negara.

Terdapat sesetengah pemohon mempunyai pengalaman luas dalam menganjurkan acara sukan bertaraf dunia dan menguasai beberapa bahasa asing. – BERNAMA