KUALA TERENGGANU - Jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang, menafikan menandatangani perjanjian seumur hidup bernilai RM30 juta setahun dengan syarikat pengeluar barangan sukan terkemuka dunia sejak tiga tahun lalu.
Azizulhasni, 29, yang juga juara acara keirin pada Kejohanan Dunia UCI di Hong Kong, baru-baru ini, berkata tiada perjanjian penajaan seumur hidup dengan syarikat pengeluar barangan sukan seperti dilaporkan wartawan sukan saluran ESPN.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu yang digelar 'The Pocket Rocketman' itu berkata, berita mengenai tajaan berkenaan mula disiarkan pada 2008 dan terbaru pada Februari lalu.
"Saya ingin tegaskan penajaan RM30 juta setahun seumur hidup itu tidak benar.
"Pengurusan saya ada berbincang tetapi belum ada keputusan rasmi," katanya ketika dihubungi BH.
Berdasarkan laporan ESPN, Azizulhasni akan mempunyai pakaian dengan tanda tangan sendiri bersama syarikat pengeluar pakaian sukan terkemuka dunia dan dijangka memakainya untuk semua pertandingan.
Beliau berkata, jika betul syarikat itu bersetuju menjadi penaja seumur hidup, ia adalah perkembangan baik kepada industri sukan negara.
Sumber: BH Online