Kanak-Kanak Di Kulim Derita Tulang Belakang Bengkok Perlu Dana Rawatan


KULIM - Seorang kanak-kanak berusia 9 tahun yang menderita tulang belakang bengkok sejak berusia setahun memerlukan dana untuk menampung kos pembedahan berjumlah RM23,903. 

Walaupun fizikal Nur Athirah Zulkifli tidak sempurna seperti rakan sebaya lain, namun dia yang bersekolah di Taman Kenari seorang yang aktif.

Bapanya, Zulkifli Mohd Rejab, 45, berkata, anak bongsunya dikesan mengalami masalah tulang belakang bengkok ketika berusia satu tahun setengah.

"Masa lahir kami tak sedar pun keadaan dia tapi bila cecah usia setahun setengah baru tahu tulang belakang Athirah bengkok.

"Athirah lahir tak cukup bulan. Sejak itu kami terpaksa ulang alik ke Hospital Pulau Pinang sehingga dia berusia tiga tahun untuk memastikan masalah kesihatannya dalam keadaan baik," katanya.

Zulkifli yang juga buruh kasar di ladang berkata, ketika usia 4 tahun, Nur Athirah mula mendapatkan rawatan untuk tulang belakangnya.

"Masa 4 tahun kami buat rawatan untuk tulang belakang. Mulanya Athirah terpaksa guna simen untuk menyokong tulang belakangnya sehingga terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama sembilan kali.

"Kemudian kami juga terima bengkung plastik untuk beri sokongan kepada tulang belakang Athirah, tapi dia tak selesa sebab susah nak bergerak dan panas," katanya.

Zulkifli (dua, kanan) menunjukkan tulang belakang Nur Athirah yang semakin membengkok dan perlu melakukan pembedahan segera pada Julai ini.
Menurutnya, sejak anaknya tidak menggunakan bengkung tersebut, tulang belakangnya semakin membengkok sehingga menekan paru-parunya.

"Sekarang tak guna sangat bengkung sebab dia merengek tak selesa. Kalau dulu tulangnya hanya bengkok 75 peratus tapi kini makin bengkok 82 peratus. Sebab itu kalau batuk dia akan sesak nafas," katanya.

Tambahnya, Nur Athirah memerlukan dana segera untuk melakukan pembedahan membetulkan tulang belakangnya pada Julai ini.

“Saya merayu bantuan daripada orang ramai untuk menampung kos rawatan pembedahan anak pada Julai ini di HUKM untuk membetulkan tulang belakangnya,” katanya.

Malah lebih memeritkan, bapanya, Mohd Rejab Abdullah, 75, diserang strok pada 11 April lalu.

"Waktu itu saya baru balik HUKM untuk rawatan Athirah. Sampai rumah, saya dapat berita ayah pula diserang strok sehingga tak boleh bergerak.

"Sekarang satu lagi ujian perlu saya hadapi. Ayah sekarang terpaksa guna lampin pakai buang setiap hari," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Padang Kulim, Datuk Wan Nazir Wan Abd Rahim berkata, pihaknya juga telah menghulurkan bantuan sekadar termampu dan memohon orang ramai untuk bersama menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembedahan Nur Athirah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi Zulkifli 011-11011925 atau 017-5258750.

Sumber: Sinar Harian