Karikatur Nanyang: 20 Laporan Polis Diterima


KUALA LUMPUR – Polis menerima 20 laporan berhubung kes karikatur Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang disiarkan portal dan akhbar harian Nanyang Siang Pau.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kes itu masih dalam siasatan polis.

“Saya ingin menasihatkan semua pihak termasuk rakan-rakan media, yang kita perlu bersifat sensitif terhadap isu-isu sedemikian di negara ini.

“Negara kita ini adalah negara yang berbilang kaum dan agama. Oleh itu, jangan membuat apa-apa atau sebarang bentuk lukisan dan penulisan yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

“Kepada Nanyang Siang Pau, mereka perlu berhati-hati dalam menyampaikan sebarang berita mereka selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan PDRM peringkat Bukit Aman, di sini hari ini.


Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan akan memanggil ketua pengarang akhbar harian Nanyang Siang Pau Sdn. Bhd. berikutan isu berkenaan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada akhbar harian berbahasa Cina itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Pada Sabtu lepas, akhbar itu dan portalnya menyiarkan kartun yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai speaker manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label Hadi Awang.

Karikatur kedua-dua monyet berkenaan digambarkan sedang bertenggek di atas dahan sebuah pokok yang diberi label ‘Akta 355’. – BERNAMA