Kartunis ‘Sindir’ Peniaga Main Agama Jadi Pelaris


BERNIAGA itu tidak salah tetapi cara menjalankan perniagaan dengan meletakkan nama seperti mempergunakan agama sebagai pelaris adalah sesuatu yang tidak patut dilakukan.

Malah, lebih menyedihkan apabila ada peniaga yang seolah-olah mempermainkan agama dengan ‘menghalalkan’ perkara yang sudah jelas dosa dan haram di sisi syarak itu sendiri.

Jika sebelum ini ‘Nasi Lemak Pondan’ menjadi tular menerusi media sosial sebelum ‘digemparkan’ pula dengan nama ‘Nasi Lemak Gay’ sehingga mendapat kecaman masyarakat Muslim.

Pelaris produk yang digunakan peniaga dengan memilih nama membabitkan isu LGBT seperti ini dilihat bukan sesuatu perkara yang normal, tetapi memalukan orang yang beragama Islam.

Seorang pelukis komik online di Facebook yang dikenali sebagai Abeben’s Network telah menghasilkan lukisan komik pendek tentang taktik pelaris produk yang dilakukan oleh peniaga.

“Semakin lama, perkara-perkara yang dibenci oleh Allah semakin boleh diterima oleh masyarakat. Umat Islam dah boleh terima dan anggap LGBT sebagai sesuatu yang biasa dan bukannya perkara yang dilaknat oleh Allah.

“Sehingga langsung tidak rasa apa-apa apabila dijadikan sebagai bahan promosi atau intipati dalam sesuatu produk. Normalisasi maksiat dan kemungkaran ni sebenarnya dah lama berlaku.

“Ia bermula dengan sekecil-kecil perkara, seperti babak cumbu dan pergaulan bebas dalam komik, filem dan animasi, sehinggalah ke sebesar-besar perkara, seperti gubal undang-undang agar menghalalkan ia di dalam negara.

“Lihatlah Jepun sebagai contohnya. Sebuah negara yang kita semua tahu amat konservatif dan mementingkan tradisi dan adab kebudayaan mereka. Namun lihatlah generasi baharu mereka hari ini.

“Mereka makin terpengaruh dengan budaya luar yang bertentangan tradisi dan adab kesopanan sendiri. Mereka kini menjadi antara pengeluar filem dan animasi lucah terbesar di dunia. Dan kesannya merecik hingga ke Malaysia.

“Sub-contohnya, animasi-animasi mereka mula menormalisasikan hubungan sumbang mahram, LGBT dan pedofilia. Bayangkan anak-anak muda yang membesar dengan animasi sebegini.

“Lama-kelamaan, mereka mula anggap elemen incest, lolicon, harem, ecchi, yuri, shonen-ai sebagai genre yang boleh diterima. Jangan nafikan perkara ini, kerana ia benar-benar berlaku dalam generasi muda.

“Itu baru satu contoh. Banyak lagi contoh lain yang memangkin normalisasi kemungkaran di Malaysia. Kebanyakannya bersembunyi di sebalik nama hak kebebasan bersuara.

“Dan trend terkini pula, menerapkan istilah-istilah kotor ini dalam produk masing-masing sebagai bahan penarik dan pengviral. Seolah-olah tiada lagi rasa bersalah dalam hati apabila membiasakan umat Islam menerima perkara kotor sebegini.

“Berniaga tak salah. Yang salahnya apabila gunakan perkara yang dibenci Allah sebagai bahan pelaris jualan. Jangan sampai kita dianggap sebagai pelopor aktiviti menunggang maksiat seperti ini. Dan jangan sampai selepas ini, maksiat yang lebih teruk turut sama dinormalisasikan dalam masyarakat.

“Renung-renungkanlah wahai umat Islam. Cukuplah kita menerima serangan pemikiran daripada musuh Islam. Kalau kita sendiri selaku umat Islam pergi serang pula daripada dalam, bagaimanakah nasib umat kita pada masa hadapan kelak?” tulisnya.

Jual nasi lemak memang tidak salah tetapi jangan sampai perkara dibenci agama menjadi sesuatu perkara normal di dalam masyarakat yang terdiri dari umat Islam dan jika tidak terus dicegah perkara ini semakin menjadi-jadi. –Kedahnews.com