Kebuluran: 27 Juta Penduduk Di Ambang Maut


LONDON – Hampir 27 juta penduduk di negara yang dilanda kebuluran seperti Nigeria, Sudan Selatan dan Yaman tidak memiliki sebarang sumber air yang selamat.

Keadaan itu menyebabkan ia sangat berbahaya kepada kanak-kanak dan mereka berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan yang serius.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, bahaya kekurangan air itu menyamai risiko kekurangan sumber makanan yang boleh membawa maut.

Lebih 20 juta penduduk, iaitu jumlah yang lebih besar daripada penduduk di Florida atau Romania berdepan dengan risiko kematian dalam masa enam bulan di keempat-empat negara itu akibat konflik serta perubahan cuaca.

Pengarah program kecemasan UNICEF, Manuel Fontaine, berkata kekurangan bekalan air, masalah penjagaan kesihatan dan tahap kebersihan yang buruk meningkatkan risiko jangkitan penyakit berbahaya kepada kanak-kanak itu.

“Bekalan air yang tidak selamat digunakan boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit hilang zat makanan yang diperlukan, atau lebih buruk lagi, mereka tidak akan pulih jika air yang diminum tidak selamat.

“Kombinasi kekurangan zat makanan, air yang kotor dan ketiadaan penjagaan kesihatan akan mewujudkan kitaran yang boleh membunuh kanak-kanak ini,” katanya.

Hampir 75 peratus sumber air dan infrastruktur kebersihan musnah di timur laut Nigeria, akibat pemberontakan kumpulan militan Boko Haram yang turut menyaksikan perpindahan jutaan penduduk.

Di Somalia pula, kebanyakan sumber air semakin mengering akibat musim kemarau terburuk yang pernah melanda negara itu dalam tempoh 20 tahun. – Reuters