Kejohanan Bola Tampar Pantai Dunia Di Langkawi


LANGKAWI – Sebanyak 32 pasukan dari 17 negara mengesahkan penyertaan mereka dalam Kejohanan Bola Tampar Pantai Siri Jelajah Dunia 2017 Terbuka Malaysia yang akan diadakan di sini pada 15 dan 16 April ini.

Penganjurnya, E-Plus Global Sdn Bhd dalam kenyataan baru-baru ini berkata pasukan terlibat adalah dari Australia, Austria, Cuba, Republik Czech, Sepanyol, Estonia, Jerman, Indonesia, Jepun, Malaysia, Romania, Afrika Selatan, Rusia, Scotland, Serbia, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Diaz Gomez Nivaldo dan Sergio Gonzales Reynaldo Bayard dari Cuba dijangka menjadi gandingan tumpuan bagi kategori lelaki siri ini selain pasangan Emily Stockman dan Kimberly Dicello dari Amerika Syarikat bagi kategori wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global, Andrew Ching berkata gandingan ini adalah antara nama-nama terkemuka sukan itu yang telah disenaraikan oleh Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (Fivb) untuk siri ini.

“Sepuluh pasukan dari Malaysia akan turut berentap dalam kejohanan ini,” katanya.

Ching berkata pemain Malaysia yang bakal menjadi tumpuan adalah Elangovan Yogeswaran untuk kategori lelaki dan Luk Teck Hua (kategori wanita).

Sementara itu Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava), Dr Gregory Hii berkata penglibatan 10 pasukan tempatan dalam siri jelajah ini akan dapat mempopularkan lagi sukan tersebut.

“Sukan bola tampar pantai sudah tersenarai sebagai satu daripada sukan peringkat Olimpik dan penganjuran Terbuka Malaysia ini akan membawa faedah kepada perkembangannya di negara ini,” katanya.

Kejohanan membabitkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$20,000 (kira-kira RM89,000).

Selain Fivb dan Mava, penganjuran kejohanan itu turut mendapat kerjasama Malaysia Convention and Exhibition Bureau, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Majlis Perbandaran Langkawi. – BERNAMA