Kelab Penyokong Mohon Sokongan Sultan Kedah Pujuk TCH


ALOR SETAR – Kelab Gabungan Penyokong Pasukan Bola Sepak Kedah atau Lang Merah Fans Associate (LMFA) merayu Ketua Jurulatih pasukan Helang Merah, Tan Cheng Hoe supaya mempertimbang semula peletakan jawatannya.

Ahli Jawatankuasa LMFA, Ismail Zain berkata, peletakan jawatan secara tiba-tiba itu sedikit sebanyak telah memberi kesan negatif kepada skuad Hijau Kuning yang kini sedang berada pada prestasi terbaik sepanjang musim Liga Super ini.

“Sepanjang beliau mengemudi pasukan Kedah, banyak perubahan yang dapat kita lihat. Sekiranya beliau menerima tawaran FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), saya harap beliau dapat menyatakan lebih terperinci butirannya.

“Ini kerana pasukan Kedah hari ini disayangi ramai peminat setia yang sentiasa memenuhi stadium setiap kali perlawanan berlangsung,” katanya kepada pemberita pada sidang media di perkarangan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), lewat petang semalam.

Selain itu, Ismail juga memohon FAM supaya mempertimbang semula tawarannya kepada tonggak kejurulatihan Kedah itu sehingga ke musim ini berkahir agar tidak menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan kebanggaan negeri Kedah itu.

“Kami faham ia demi memajukan bola sepak negara dan kami hormati tawaran FAM, tetapi diharap dapatlah dilakukan pada akhir musim ini,” katanya merayu budi bicara kepimpinan badan bola sepak negara itu.

Sementara itu, LMFA yang mewakili kira-kira 24 kelab gabungan penyokong bola sepak negeri Kedah turut akan menyerahkan memorandum rayuan kepada Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini agar mengambil jalan penyelesaian terbaik menangani isu berkenaan.

LMFA dalam kenyataannya juga bercadang memohon perkenan Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga merupakan peminat nombor satu Lang Merah untuk menyokong cadangan dan pandangan mereka supaya dapat memperkuatkan lagi rayuan itu.

Nama Cheng Hoe yang membawa Kedah muncul juara Piala Malaysia musim lalu disebut-sebut bakal dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan.

Beliau dikatakan menjadi pilihan Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya yang baru, Mario Gomez yang sebelum ini dilantik menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang diberi tugas baru melatih skuad bawah 22 tahun negara.

Sejak menggalas tugas sebagai jurulatih Kedah pada 2014, Cheng Hoe telah berjaya membimbing Kedah menjuarai Piala Malaysia musim lalu, manakala dalam saingan Liga Super musim ini, Kedah kini berada di puncak liga dengan 18 mata daripada lapan perlawanan. – Kedahnews.com