ALOR SETAR - PAS mempersoal tentang rasional perlu menerima Akuan Bersumpah (SD) yang dibuat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, sedangkan SD yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan dan dan Datuk Abdul Murad Khalid (bekas Penolong Gabenor Bank Negara) tidak perlu diterima.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sekiranya Rafizi mahu semua pihak menerima SD yang dibuatnya, maka SD yang dibuat oleh Saiful Bukhari dan Murad juga perlu diterima.
Malah beliau turut mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga kini masih belum bersumpah menafikan tuduhan liwat sejak pertama kali dituduh melakukan jenayah tersebut pada 1998 hingga kini.
"Dalam soal sumpah, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada awal tuduhan liwat sampai penjara tidak pernah bersumpah menafikan tuduhan tersebut.
"Jadi bagaimana itu? Kalau kita terima SD Rafizi, maka kita perlu terima juga SD Saiful dan Murad.
"Kita kena konsisten, kalau ada metologi, perlu gunakan metalogi yang sama. Jangan kita gunakan untuk diri sendiri. Tidak betul caranya," kata Mohd Amar mempersoal kredibiliti SD Rafizi.
Anwar yang dulu merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, pada 1998 telah dilucutkan dari semua jawatan kerajaan dan parti oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan salah laku moral membabitkan tuduhan liwat.
Peristiwa berkenaan mencetus ketidakpuasan hati ramai pihak yang bertindak melakukan demonstrasi besar-besaran sehingga menarik perhatian dunia yang sekaligus menyifatkan Mahathir sebagai seorang pemimpin 'diktator yang zalim'.
Selain itu, Mohd Amar turut mempersoal mengapa Rafizi tidak bertindak memfailkan saman terhadap Raja Petra Kamaruddin yang menuduhnya menerima berjuta-juta ringgit dari seorang lelaki, sebaliknya hanya melakukan SD untuk menafikan tuduhan itu.
"Kenapa Rafizi sendiri tidak menyaman Raja Petra yang menuduh beliau terima duit secara terbuka. Dia hanya melakukan SD menafikan tuduhan itu.
"SD sahaja tidak cukup, sepatutnya Rafizi kena saman kerana Raja Petra menyebut dengan jelas bahawa beliau dan beberapa pemimpin PKR menerima duit.
"Namun dalam kes Pas (tuduhan Sarawak Report bahawa Pas terima duit RM90 juta) kenapa Pas pula diminta untuk saman Sarawak Report. Nampak macam ada percanggahan dari segi isu," katanya,memetik laporan Sinar Harian.
Pada 8 April lalu, Raja Petra mendakwa seorang ahli perniagaan, Datuk John Soh Chee Wen pernah menyalurkan wang berjuta-juta ringgit kepada Rafizi dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, disamping beberapa pemimpin lain. - Kedahnews.com