Kerajaan Peruntuk RM783.7 Juta Untuk Selesai Masalah Air Di Kedah


SIK - Kerajaan persekutuan dan negeri memperuntukkan RM783.7 juta bagi menangani masalah bekalan air di seluruh Kedah, kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Tajuddin Abdullah. 

Beliau berkata sejak 2015, Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM48.5 juta bagi menyelesaikan masalah air di luar bandar dan Syarikat Air Darulaman (SADA) pula memperuntukkan RM735.2 juta bagi menyelesaikan masalah air di negeri ini.

"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa membantu rakyat menerusi kerjasama erat yang terjalin antara dua kerajaan negeri dan pusat," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Sistem Retikulasi KEDA Sungai Senang di sini semalam.

Turut hadir merasmikan majlis tersebut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Tajuddin berkata, bagi daerah Sik sahaja, KKLW memperuntukkan RM15.7 juta bagi menyediakan kemudahan bekalan air dan sebanyak RM48 juta diperuntukkan SADA yang telah memanfaatkan 68,000 penduduk di daerah itu. 

Tajuddin juga memohon supaya masyarakat serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melaporkan kepada kerajaan melalui agensi berkaitan dan wakil rakyat sekiranya berlaku masalah air untuk diberi perhatian dan diselesaikan.

Dalam pada itu, projek BALB Sistem Retikulasi yang menelan kos RM4.5 juta itu memanfaatkan 1,500 penduduk di Sungai Senang yang selama ini dibelenggu dengan masalah bekalan air yang sering terputus. 

Rata-rata penduduk yang ditemui bersyukur kerana penantian mereka selama ini berakhir dengan terbinanya projek loji rawatan air baharu itu.

Natrah Mohd Saad, 38, berkata sebelum ini, mereka menggunakan air bawah tanah untuk kegunaan seharian.

"Kami sangat bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang bersungguh-sungguh membantu kami dalam isu air kerana sebelum ini kami sering terputus bekalan air dan hanya menadah air pada sebelah malam sahaja," katanya.

Nor Azian Abdul Rahman, 30, pula berkata dengan kewujudan tangki air baharu yang lebih besar ini membolehkan agihan air dibuat sepanjang masa dan semua penduduk dapat menikmati air bersih setiap hari. - Bernama