KFA "Tahan" TCH Selagi Tidak Kemuka Tawaran Rasmi FAM


KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) enggan melepaskan Tan Cheng Hoe dari jawatan Ketua Jurulatih skuad Kedah selagi beliau belum mengemukakan surat tawaran rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai perlantikannya sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan terlebih dahulu.

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya telah meneliti permohonan dan notis perletakan jawatan Cheng Hoe yang diterima pada 1 April lalu.

Namun tegas beliau, Cheng Hoe masih merupakan Ketua Jurulatih Kedah yang sah.

"Pengurusan tertinggi KFA meminta Tan Cheng Hoe mengemukakan surat tawaran rasmi dari FAM mengenai perlantikan beliau sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan.

"Selagi tiada tawaran rasmi dan pengesahan dari pihak FAM, KFA TIDAK MEMBUAT APA-APA KEPUTUSAN mengenai kedudukan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dalam masa terdekat.

"Secara status quo, Tan Cheng Hoe KEKAL sebagai ketua jurulatih pasukan Kedah kerana beliau masih terikat dengan kontrak perkhidmatan bersama KFA," tegasnya dalam kenyataan media tersebut, semalam.

Menurut Ahmad Bashah, KFA hanya akan membuat keputusan selanjutnya mengenai kedudukan Cheng Hoe selepas meneliti perkara-perkara yang disebutkan terbabit.

Selain itu, Menteri Besar Kedah itu turut mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak memburukkan keadaan dengan menyiarkan laporan yang menjejaskan imej KFA dan lebih berhati-hati menyampaikan maklumat.

“KFA amat memandang serius dengan artikel-artikel di media massa yang boleh memberi imej buruk kepada KFA, diharapkan pihak media lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat dan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dari pihak KFA,” katanya.

Namun begitu, insiden mengenai Cheng Hoe yang menjadi kesayangan peminat Hijau Kuning ini telah mencetus cakap-cakap belakang tidak sedap didengar, apabila timbul dakwaan tindakan mengambilnya ke skuad kebangsaan sebagai satu cara untuk melemahkan pasukan Kedah yang kini cukup cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.

Ia bagaimanapun segera dinafikan oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan pemilihan Cheng Hoe dibuat sendiri oleh Gomez tanpa dipengaruhi oleh FAM. - Kedahnews.com