Kilang Penapis Gula Terbesar Malaysia Telah Siap 80%


JEMPOL – Pembinaan sebuah kilang penapis gula terbesar Malaysia di Tanjung Langsat, Johor telah siap 80 peratus dan dijangka dapat memulakan operasi pada tahun depan.

Perkara itu disahkan Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Beliau berkata, apabila beroperasi ia dijangka mampu mengeluarkan satu juta tan metrik gula bertapis setahun.

“Ini akan menjadikan MSM (Malayan Sugar Manufacturing Malaysia Holdings Berhad) bukan sahaja dapat menjual gula bertapis di pasaran tempatan tetapi juga untuk dieksport,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jempol.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Komputer dan Penyampaian Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin di Sekolah Kebangsaan Felda Serting Hilir 2 di sini, semalam.

MSM yang dikuasai syarikat perladangan utama FGV dan menguasai 65 peratus bahagian dalam pasaran gula tempatan telah membelanjakan RM90 juta bagi pembelian tanah 20.477 hektar untuk kilang penapis ketiga negara.

Ketika ini pengeluaran gula oleh dua buah kilang milik MSM di Perai, Pulau Pinang dan Chuping, Perlis ialah 90,000 tan sebulan, mencukupi untuk kegunaan penduduk di seluruh negara.

Majlis perasmian kilang ketiga itu telah disempurnakan oleh Speaker DUN Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Aziz dan turut dihadiri Mohd. Isa pada 28 Mac tahun lalu.

Mohd. Isa yang juga oleh Pengerusi MSM seterusnya berkata, kilang baharu tersebut dijangka mendapat bekalan gula mentah daripada beberapa negara pengeluar tebu utama di dunia, termasuk Brazil, China dan Thailand.

“Bekalan gula mentah ini kita akan beli daripada beberapa buah negara lain sebab negara kita sendiri setakat ini belum ada lagi projek tanam tebu dalam sekala yang besar.

“Saya fikir tanah pun tak begitu sesuai dan di Negeri Sembilan ini pernah dibuat projek penanaman tebu pada awal 1960-an dan 1970-an, dan didapati kandungan gula dalam tebu itu tidak berapa cukup,” katanya. – BERNAMA