Korea Utara Tahan Seorang Lagi Rakyat Amerika Syarikat

SEBUAH pesawat Air Koryo di Pyongyang, Korea Utara. - Foto; REUTERS
PYONGYANG  - Pihak berkuasa Korea Utara menahan seorang lagi rakyat Amerika Syarikat (AS), menjadikan jumlah keseluruhan rakyat AS yang ditahan kepada tiga orang.

Canselor Universiti Sains dan Teknologi Pyongyang, Park Chan-mo berkata, Tony Kim atau turut dikenali sebagai Kim Sang-duk ditahan semalam.

Chan-mo berkata, Tony, 58 sebelum ini mengajar subjek perakaunan di universiti berkenaan selama sebulan.

"Beliau ditahan ketika cuba meninggalkan negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang dan dipercayai cuba menaiki penerbangan ke China bersama isterinya," katanya.

Kedutaan Sweden di Pyongyang berkata mereka dimaklumkan mengenai penahanan itu tetapi enggan mengulas lanjut. Kedutaan Sweden menjalankan tugas hal ehwal konsulat bagi pihak Amerika Syarikat di Korea Utara kerana kedua-dua negara terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.

Menurut Chan-mo, Tony mengajar di Universiti Sains dan Teknologi Yanbian di China sebelum berhijrah ke Pyongyang.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa penahanan itu tiada sebarang kaitan dengan tugas Tony di universiti tetapi pada masa sama, tidak tahu maklumat lanjut mengenainya. - AP