KPDNKK Rampas 194 Tong Gas LPG Bernilai RM51,332 Di Kuala Kedah


ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas 194 tong gas petroleum cecair (LPG) dianggar bernilai RM51,332 dari sebuah premis penyimpanan serta penjualan di Kampung Baru Tambak Bunga, Kuala Kedah, di sini kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah Shamsul Nizam Khalil berkata pemeriksaan oleh tujuh anggota penguat kuasa KPDNKK pada pukul 10 pagi itu mendapati premis berkenaan telah beroperasi tanpa kebenaran dan tidak mempunyai lesen sah.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang merupakan pemilik premis berkenaan telah ditahan.

“Kita menyita 163 tong gas LPG pelbagai jenama, 31 tong kosong dan sebuah lori yang digunakan untuk menghantar gas LPG,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Menurut Shamsul Nizam, pihaknya juga telah mengenal pasti syarikat yang membekalkan LPG kepada premis tersebut dan akan mengambil tindakan terhadap pembekal kerana membekalkan LPG kepada pihak yang tidak mempunya lesen yang sah.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan LPG dengan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurus niaga barang kawalan berjadual LPG tanpa lesen sah. – BERNAMA