KPDNKK Rampas 235 Tong Gas Di Kepala Batas Dan Kuala Nerang

PEGAWAI KPDNKK Kedah melakukan pemeriksaan ke atas dua premis bekal LPG tanpa lesen di Kepala Batas dan Kuala Nerang di sini petang semalam. - Foto Ihsan; KPDNKK Kedah
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas sebanyak 235 tong termasuk tong kosong Gas Petroleum Cecair (LPG) pelbagai jenama membabitkan nilai RM34,237 dalam dua serbuan di negeri ini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasaannya, Shamsul Nizam Khalil, berkata kejayaan ini hasil risikan selama dua minggu sebelum 15 anggota melakukan serbuan secara serentak dalam operasi Ops Gasak di dua premis, jam 5 petang.

Katanya, serbuan terbabit dilakukan di stor penyimpanan Bukit Pinang, Kepala Batas, dan sebuah premis di Kuala Nerang.

"Pemeriksaan dilakukan menemui 84 tong LPG pelbagai jenama dan 151 tong LPG kosong pelbagai jenama tanpa kebenaran atau lesen yang sah.

"Susulan penemuan itu, kita menahan dua suspek dipercayai pemilik stor berusia antara 57 hingga 60 tahun untuk direkodkan percakapan malah turut menyita sebuah lori," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shamsul Nizam berkata, siasatan juga tertumpu kepada syarikat yang membekalkan LPG secara salah ke dua-dua premis terbabit.

"Bagi kesalahan memiliki barang kawalan LPG tanpa lesen akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda maksimum RM 1 juta bagi orang perseorangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala kesalahan membekal LPG kepada pihak yang tidak mempunyai lesen pula, ia disiasat mengikut Peraturan 9 (2) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Sumber: BH Online