KSN Saran Nasi Bungkus, Air Kosong Elak Bazir Jamuan


PUTRAJAYA – Semua jamuan anjuran peringkat kementerian dan jabatan kerajaan diminta tidak menyediakan makanan secara berlebihan demi mengelakkan pembaziran daripada terus berlaku.

Saranan itu diluahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sambil berkata, langkah tersebut berupaya mendidik penjawat awam menghargai makanan dengan tidak buang hidangan yang masih lagi boleh dimakan.

“Sebagai permulaan, sebarang jamuan boleh tukar konsep bufet kepada nasi campur (bungkus) manakala mesyuarat dilakukan selepas makan tengah hari, saya ingat tidak perlu sediakan jamuan, air kosong sudah memadai.

“Saya meminta agar semua ketua setiausaha dan per­khidmatan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kerana inisiatif ini bukan sahaja dapat memupuk sikap penjimatan makanan dalam kalangan kakita­ngan kerajaan.

“Malahan juga kepada keluarga mereka sendiri,” kata Ali dalam sidang akhbar selepas melancarkan perasmian Kempen MySaveFood untuk penjawat awam di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Turut hadir sama ialah Ketua Pe­ngarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Abu Bakar.

Menurut Ali, pihaknya tidak berhasrat untuk mengeluarkan sebarang pekeliling berhubung langkah penjimatan makanan di peringkat kerajaan tetapi mahu usaha tersebut dijalankan menerusi kempen ke­sedaran.

“Zaman mengeluarkan arahan memo atau notis pekeliling sudah berlalu, tetapi kita mahu kesedaran berhubung isu pembaziran makanan yang timbul daripada sikap penjawat awam itu sendiri,” jelas beliau lagi.

Jelas Ali, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani malah sudah mengeluarkan garis panduan kepada semua kementerian dan menerangkan secara terperinci kempen MySaveFood di peringkat penjawat awam.

“Saya yakin kempen MySaveFood ini dapat bantu Malaysia capai matlamat Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengurangkan separuh pembaziran makanan menjelang 2030,” katanya.

Pada masa sama, Ali mendedahkan, Malaysia kini berhadapan masalah pembaziran makanan apabila 3,000 tan metrik makanan bernilai jutaan ringgit yang masih elok dibuang di tapak pelupusan sampah pada setiap hari.

“Sisa ini sebenarnya boleh menyediakan makanan tiga kali sehari untuk manfaat kira-kira dua juta orang. Jika diterjemahkan kepada jumlah perbelanjaan, RM6 juta dibazir setiap hari,” katanya. – Agensi