Lambang 3 Mata Bukan Dajjal Tapi Mata Hati – Malique


PENYANYI rap, Malique memberitahu bahawa lambang tiga mata di kulit album terbarunya, Malique TKO: Pejamkan Mata, sebenarnya membawa maksud mata hati dan bukannya dajjal seperti yang hangat diperkatakan di media sosial.

Malique
Tambah Malique, mata ketiga itu membawa maksud tidak menghukum sesuatu perkara melalui mata kasar, tetapi menggunakan mata hati.

“Kulit album kali ini mempunyai maksud yang berbeza. Mata ketiga itu membawa maksud membuat keputusan menggunakan mata hati.

“Saya ingin menyampaikan mesej kepada umum supaya tidak menghukum sesuatu hanya pada luaran dan permukaan yang dilihat.

“Sebaliknya, lihatlah dengan mata ketiga iaitu mata hati untuk menyelami dasar dan memahami isinya,” kata Malique kepada mStar Online.

Album ini merupakan album bahasa Melayu terakhir yang dihasilkan oleh Malique dan selepas ini dia akan melancarkan album berbahasa Inggeris. –Kedahnews.com