Langkah Malaysia Tarik Diri F1 Tidak Pelik – Alex Yoong


SINGAPURA – Langkah kerajaan Malaysia menamatkan Grand Prix Malaysia daripada jadual Formula One (F1) sudah dijangkakan kerana “sebahagian besarnya hanya satu taktik pemasaran”.

Pandangan itu disuarakan bekas pelumba F1 Malaysia, Alexander Charles Yoong Loong sendiri ketika beliau muncul dalam program PrimeTime Asia menerusi stesen Channel NewsAsia terbitan Mediacorp Singapura lewat Jumaat.

Warga Malaysia pertama berlumba dalam aksi perlumbaan berprestij dunia itu memberitahu saluran penyiaran berkenaan bahawa perlumbaan tahunan tersebut bertujuan untuk meletakkan Malaysia di persada antarabangsa.

“Ia sebenarnya adalah taktik pemasaran selama 20 tahun dan ia pun tidak boleh bertahan selama-lamanya. Saya sudah dapat merasakan yang ia akan berakhir juga sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Yoong lagi.

Anak jati Kuala Lumpur yang berusia 40 tahun itu pernah berlumba bagi pasukan F1 Minardi berpangkalan di Faenza, Itali sebanyak 18 kali bermula di Grand Prix Itali pada tahun 2001 dan berakhir di Jepun pada 2002 lalu.

Dalam pada itu, menurut penganalisis perniagaan sukan Deloitte, James Walton, keputusan kerajaan Malaysia tidak meneruskan F1 di litar Sepang mulai tahun depan dapat memberi manfaat dan kelebihan kepada Singapura pula.

Secara kebetulan pemerintah republik tersebut kini dalam perbincangan mengenai nasib kontraknya dengan pemilik baharu penganjur acara F1, Liberty Media bagi melanjutkan tempoh Grand Prix Singapura yang bermula pada 2008.

Kontrak F1 Singapura akan berakhir pada tahun ini dan dengan keputusan Malaysia untuk menarik diri daripada Grand Prix Sepang, Walton berpendapat Singapura akan menjadi satu-satunya perlumbaan F1 di Asia Tenggara.

“Saya rasa F1 mahu mengekalkan imej Grand Prix ASEAN. Bagaimanapun, mereka juga perlu raih keuntungan, mereka harus memastikan bahawa mereka mendapat laba yang baik dari sudut yuran pelesenan,” kata Walton.

“Mungkin keadaan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Singapura, namun ia masih lagi terlalu awal untuk meramalkan cara pemilik baharu itu menguruskan proses rundingan mereka.” – Agensi