Lebih 1 Juta Mohon Isi 25,046 Jawatan Di SPA 2016


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerima sebanyak 1.56 juta permohonan pada tahun lepas bagi mengisi 25,046 kekosongan jawatan yang ditawarkan dalam sektor perkhidmatan awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata bagi memastikan hanya calon yang berkualiti terpilih, setiap permohonan yang diterima akan melalui proses tapisan yang ketat.

“SPA menerima banyak permohonan setiap tahun daripada calon-calon yang ingin berkhidmat dengan kerajaan, namun peluang pekerjaan tetap yang wujud setiap tahun adalah begitu terhad.

“Pada 2015, SPA terima sebanyak 1.63 juta permohonan namun kekosongan tetap di SPA cuma 24,606 sahaja,” katanya pada sesi bertanya kepada menteri-menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata jumlah permohonan yang tinggi setiap tahun itu memudahkan SPA membuat pemilihan bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Joseph berkata pada masa ini, SPA menggunakan kaedah pengambilan secara ‘profiling MyRecruitment‘ terhadap sebahagian besar skim perkhidmatan awam bagi pemilihan calon yang terbaik.

Jelasnya, terdapat empat peringkat saringan dilakukan dalam proses pemilihan calon sebelum ditawar lantikan iaitu tapisan awal, peperiksaan secara online, penilaian kompetensi dan temu duga.

“Calon yang tidak menepati tapisan awal tidak akan dipanggil untuk menduduki peperiksaan online. Manakala calon yang tidak melepasi peperiksaan online tidak akan dipanggil untuk mengikuti penilaian kompetensi dan calon yang tidak melepasi penilaian kompetensi tidak akan dipanggil untuk temu duga,” katanya.

Beliau juga berkata permohonan calon dalam sistem SPA akan ditapis secara berkomputer berdasarkan kriteria tertentu yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan, disesuaikan secara khusus bagai sesuatu jawatan.

“Ada beberapa ciri yang kita lihat, selain kelulusan akademik pemohon seperti semasa temu duga terutama keterampilan. Calon dinilai sama ada mahu bekerja secara berpasukan, mempunyai ciri-ciri kepimpinan, jati diri serta profesionalisme,” katanya. – BERNAMA