Lebih 10,000 Sertai Larian Bendera Di Kedah


ALOR SETAR - Seramai 10,000 orang ahli UMNO, golongan belia dan pelajar institusi pengajian tinggi dijangkan akan mengambil bahagian pada larian bendera di negeri Kedah yang akan diadakan pada 2 hingga 4 Mei bersempena dengan sambutan ulang tahun UMNO yang ke-71 nanti.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Md Rozai Shafian berkata, larian itu akan bermula pada 2 Mei di Kodiang di, mana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan menerima bendera UMNO daripada UMNO Perlis.

"Bendera itu akan dibawa berlari melalui jalan-jalan di negeri Kedah sehinggalah sampai ke Jambatan Merdeka, iaitu sempadan Kedah dan Pulau Pinang, pada 4 Mei.

"Kemudian, Sang Saka Bangsa itu akan diserahkan kepada UMNO Pulau Pinang oleh Ahmad Bashah, yang juga Menteri Besar Kedah, untuk meneruskan larian bendera itu di negeri berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini selepas majlis taklimat tentang perkara berkenaan kepada setiausaha UMNO bahagian, setiausaha wanita, pemuda dan puteri bahagian.

Taklimat disampaikan Setiausaha Kerja UMNO Kedah, Datuk Nasir Murad.

Md Rozai berkata larian bendera itu melambangkan kesatuan dan semangat anggota UMNO di negeri ini yang berkobar-kobar menyala bagi menghadapi pilhan raya umum ke-14.

Selain larian bendera, bahagian-bahagian UMNO di Kedah juga akan menganjurkan program sukan rakyat dan kenduri  rakyat bagi memeriahkan lagi sambutan ulangtahun UMNO ke-71 itu nanti.

Beliau juga berkata, UMNO Kedah akan menghantar seramai 6,000 ahli bagi menyertai sambutan ulang tahun peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Mei nanti.

"Setiap bahagian akan menghantar 500 ahli bagi menyemarakkan lagi sambutan kali ini, yang sangat penting kerana kita berada dalam keadaan hampir dengan pilhan raya," katanya. - Kedahnews.com