Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Rempuh Pejalan Kaki


GEORGE TOWN - Penunggang motosikal yang terlibat dalam insiden langgar lari sehingga menyebabkan kematian warga emas berusia 58 tahun mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret dekat sini.

Nazri Che Lah, 44, yang bekerja sebagai kru kapal didakwa menunggang motosikal secara melulu sehingga menyebabkan kematian Foo Swee Wah.

Swee Wah maut dilanggar motosikal tertuduh di laluan pejalan kaki di Jalan Burma dekat Balai Polis Pulau Tikus pada Khamis lalu.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki dalam insiden kira-kira pukul 10.30 pagi itu serta meninggal dunia pada hari sama.

Nazri mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin menetapkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan lesen Nazri turut digantung.

Majistret Muhamad Amin Shahul Hamid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menggantung lesen memandunya, selain menetapkan 29 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Sumber: mStar