Lepas 99 Kata-Kata #QalifModen, Fattah Amin Nak Lancar Novel Pula


KUALA LUMPUR - Selepas melancarkan single Wanita Terakhir, Januari lalu, bintang sensasi, Fattah Amin, 26, akan muncul pula dengan novel menggunakan judul sama, Sabtu ini.

Wanita Terakhir, hasil ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan, dirakam Fattah sebagai hadiah buat peminatnya selain ditujukan buat pelakon gandingannya dalam drama popular, Suri Hati Mr Pilot, Neelofa.

"Novel ini memang diadaptasikan daripada lagu berkenaan. Sama seperti lagu itu yang dijadikan hadiah untuk peminat, yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada saya, termasuk kumpulan Lofattah (gabungan Neelofa dan Fattah), saya berharap lagu ini dapat meneruskan penghargaan saya buat mereka.

"Kejayaan dan pencapaian saya selama ini takkan hadir tanpa sokongan semua peminat," katanya yang baru-baru ini menang besar pada Anugerah Meletop Era 2017.

Sementara itu, Fattah ketika ini sibuk melunaskan penggambaran drama, Hero Seorang Cinderella, di samping pelakon wanita berbakat, Nur Fazura.

"Alhamdulillah, penggambaran drama itu kini rancak dijalankan. Saya pastinya berharap Hero Seorang Cinderella membolehkan peminat terus menyokong kerjaya saya.

"Bergandingan dengan Fazura buat julung kali juga memberikan dimensi baharu dalam dunia lakonan saya," katanya.

Terdahulu, Fattah pernah mengeluarkan buku diberi judul 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin yang menjadi tular dan hangat diperkatakan orang ramai, beberapa bulan lalu.

Sumber: BH Online